PETALING JAYA: Sunway Bhd. menjadi syarikat Malaysia pertama yang memenangi anugerah Emas di bawah kategori Laporan Kelestarian di Australasian Reporting Awards (ARA) 2022.
Sunway diiktiraf bersama jenama global lain atas komitmennya terhadap keseluruhan kecemerlangan dalam laporan kelestarian, menyediakan pendedahan penuh topik material kelestarian yang berkaitan dengan organisasi, menerangkan keperluan perundangan dan kawal selia yang berkaitan dan cara ia ditangani.
Selain itu, Sunway Construction Group Bhd. turut memenangi anugerah Perak di bawah kategori anugerah am.
Pengurus Besar Kanan Pemasaran Jenama dan Komunikasi Sunway Group, Nik Tasha Nik Kamaruddin berkata, kemenangan tersebut membuktikan komitmen Sunway yang tidak berbelah bahagi terhadap penciptaan nilai yang telus dan mampan untuk pemegang saham.
“Kami sangat teruja untuk menerima pengiktirafan daripada rakan kami yang dihormati di peringkat global. Anugerah ini sememangnya bukti kepada usaha Sunway dalam menyampaikan kemajuan dan pencapaian secara berterusan ke arah pembangunan mampan.
“Sunway akan kekal komited terhadap amalan laporan kelestarian yang cemerlang bagi mewujudkan nilai jangka panjang untuk semua pemegang saham, selaras dengan tanggungjawab Kumpulan dan komitmen terhadap amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) terbaik,” katanya dalam kenyataan.
Nik Tasha telah mewakili kumpulan tersebut menerima anugerah itu yang berlangsung di Sydney Masonic Centre di Sydney pada 18 Julai lalu.
Ditubuhkan pada tahun 1950, ARA menyasarkan untuk menyediakan platform bagi organisasi untuk menanda aras laporan tahunan mereka dengan kriteria ARA yang berdasarkan amalan terbaik seluruh dunia.
Anugerah itu mengikuti proses penilaian yang ketat, yang mana setiap laporan tahunan yang diserahkan kepada Anugerah ARA disemak oleh tiga ahli panel pakar dan dinilai berdasarkan kelengkapan dan ketelusannya. – UTUSAN










