SME Bank terima anugerah agensi terbaik pembangunan PKS

SME Bank terima anugerah agensi terbaik pembangunan PKS

Wakil SME Bank menerima trofi kemenangan Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) untuk Agensi Terbaik Mempercepatkan Pembangunan PKS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  SME Bank telah menerima Anugerah Agensi Terbaik Pembangunan PKS pada Majlis Malam Gala dan Penganugerahan Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2021.

LICTA merupakan proses pengiktirafan bagi mengenal pasti pencapaian sebenar sesebuah organisasi, perusahaan dan usahawan yang cemerlang, tulen dan dipercayai.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan besar SME Bank dalam menerajui Penciptaan Nilai Ekosistem Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata, pengiktirafan itu menunjukkan usaha SME Bank dalam membangunkan usahawan PKS telah memberi impak dan kesan positif kepada perkembangan ekonomi negara.

“Sejak penubuhannya pada 2005 dan sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai lebih RM39 bilion kepada hampir 22,000 usahawan PKS.

“Untuk 2021, SME Bank telah meluluskan lebih RM400 juta daripada pakej rangsangan Penjana yang diumumkan kerajaan merangkumi Skim SME Go, Geran Padanan Pemerkasa dan Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) untuk membantu PKS yang terjejas, manakala untuk Kemudahan Bantuan & Pemulihan Sasaran (TRRF) di bawah inisiatif Bank Negara Malaysia, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai RM150 juta kepada pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Selain menyediakan bantuan kewangan, SME Bank mengamalkan konsep melangkaui pembiayaan dalam memenuhi mandatnya untuk membimbing dan membangunkan PKS melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Centre For Entrepreneur Development And Research Sdn. Bhd. (CEDAR),” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, sehingga kini, CEDAR telah menjalankan lebih 3,515 sesi latihan melibatkan hampir 69,000 peserta.

Selaras dengan usaha global dalam memastikan kemampanan perniagaan, SME Bank telah membangunkan Rangka Kerja Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digunakan sebagai garis panduan untuk mencapai matlamat kemampanannya dengan menggabungkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaannya.

Secara keseluruhannya, perjalanan kemampanan SME Bank dilaksanakan melalui Pelan Hala Tuju Kemampanan 3-tahun SME Bank (2021-2023) berdasarkan tiga tonggak utama iaitu Perbankan Bertanggungjawab, Amalan Perniagaan Bertanggungjawab dan Mencipta Impak Sosial.

Selain itu, agenda kemampanan SME Bank juga selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (PMF) Bank Negara Malaysia (BNM).

SME Bank menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan berkaitan ESG sebanyak RM1 bilion pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×