PETALING JAYA: Sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang kukuh akan menyumbang kepada ekonomi Malaysia yang lebih kukuh, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Kata beliau, selain daripada digitalisasi, PMKS juga harus merangkul prinsip-prinsip kemampanan, untuk memastikan perkembangan akses kepada pasaran berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dan pembiayaan berasaskan ESG.
“Untuk itu, bank-bank dan institusi-institusi kewangan memainkan peranan penting dalam memudahkan peralihan PMKS kepada amalan mampan dan rendah karbon, dan jika perlu, membimbing PMKS dalam mencapai sasaran ESG mereka,” katanya berucap di majlis Anugerah FI/DFI dan PKS 2021 kali ke-17 anjuran Credit Guarantee Corporation (CGC).
Majlis anugerah tahunan ini diadakan sempena sambutan Jubli Emas CGC (1972-2022), mengiktiraf rakan-rakan kongsi industri CGC kerana menyokong perkembangannya sejak penubuhan sebagai penyedia jaminan tradisional sehingga
menjadi rakan kongsi sepenuhnya kepada PMKS.
Turut hadir, Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak.
Pada majlis itu, Tengku Zafrul turut melancarkan CGC100 iaitu Program Keusahawanan Belia, hasil kerjasama antara CGC dan Yayasan PINTAR. Khazanah Nasional Berhad adalah Ahli Pengasas PINTAR dan ia juga disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pada majlis tahun ini, terdapat 31 anugerah yang diberikan kepada pemenang-pemenang yang terdiri daripada 16 anugerah untuk Institusi-Institusi Kewangan dan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan, 14 anugerah untuk PMKS, satu anugerah
untuk Rakan Bukan Institusi Kewangan (Non-FI Partner) ini adalah kategori baharu yang diperkenalkan pada 2021.
Sementara itu, Mohammed berkata, CGC telah menyediakan jaminan berjumlah RM13.2 bilion untuk PMKS yang mana RM6.1 bilion adalah untuk Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF), serta RM5.6 bilion untuk skim jaminan portfolio/jaminan borong.
Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 1972, CGC telah membantu 360,000 PMKS dan memanfaatkan lebih daripada 516,909 jaminan dan pembiayaan bernilai lebih daripada RM89.0 bilion, dengan purata RM1.78 bilion setahun.
“Sebelum pandemik, pada 2018, CGC menyediakan jaminan bernilai RM2.84 bilion dan RM3.32 bilion pada 2019. Pada masa kini, CGC menguruskan 62,276 akaun aktif PMKS (kumulatif setakat Jun 2022),” katanya.
Berkenaan ekonomi gig yang akan menjadi sektor pertumbuhan utama dan kebanyakkannya disertai oleh usahawan muda, Muhammad berkata, penyediaan akses pembiayaan kepada usahawan muda ini adalah sama penting dengan penanaman kemahiran dan nilai-nilai yang akan membina daya tahan pada masa baik dan ketika melalui waktu mencabar.
Untuk membangunkan kemahiran itu dan menanamkan nilai teras, CGC katanya akan melancarkan CGC100 iaitu Program Keusahawanan Belia, tidak lama lagi.
“Aspirasi kami adalah agar para belia mempunyai pemahaman yang baik untuk mengenal pasti dan menilai peluang perniagaan apabila mereka menamatkan program ini. Mereka juga akan diberi peluang untuk membentangkan idea daya maju mereka dan berkemungkinan mendapat pembiayaan daripada CGC,” katanya. – UTUSAN









