SB'22KL medan pakar-pakar kelestarian bertukar pandangan

SB’22KL medan pakar-pakar kelestarian bertukar pandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persidangan Jenama Lestari Kuala Lumpur 2022 atau Sustainable Brands Kuala Lumpur Conference 2022 (SB’22KL) yang sangat dinanti-nantikan bakal menyaksikan pakar-pakar terkemuka dalam bidang ini berkongsi pandangan, dengan ‘pembinaan semula’ diangkat sebagai tema umum.

Acara secara maya yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan 300 peserta terdiri daripada pemikir beberapa jenama terbesar dunia, penggubal dasar dan perusahaan sosial untuk berkongsi inovasi serta pembelajaran di Malaysia.

Pengerusi Persidangan merangkap Pengarah Urusan Acacia Blue, Sharmini Nagulan berkata, beliau kagum dengan perkongsian yang dilaksanakan penceramah serta ahli panel berhubung kelestarian dan pemulihan.
“Walaupun ini merupakan tahun kedua kita terpaksa bersidang secara maya, ia tidak menghalang peserta serta ahli-ahli panel daripada melakukan perbincangan secara aktif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, semangat yang ditunjukkan peserta membuktikan kesedaran serta keinginan untuk mencipta masa depan yang lebih baik.

Dalam persidangan itu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Brands Worldwide, KoAnn Vikoran Skrzyniarz dan Pengerusi Acacia Blue Sdn Bhd, Gerald Miranda.

Jelas Sharmini, antara fokus pada hari pertama termasuk ceramah mengenai The Drive to Net Positive oleh Andrew Winston (yang merupakan pengarang bersama buku terlaris, Net Positive) dan Planetary Health: Towards A New Development Paradigm oleh Pengarah Eksekutif dan Profesor, Pusat Kesihatan Planet Sunway, Tan Sri Jemilah Mahmood.

“Pada hari kedua, turut berlangsung perbincangan panel mengenai ‘Tujuan Perniagaan’ dikendalikan oleh Ketua Pegawai Impak, PopVenture, Kate Byrne dan disertai wakil utama daripada syarikat terkemuka Malaysia,” ujarnya.

Diadakan secara tahunan bermula tahun 2015, Sustainable Brands Kuala Lumpur dianjurkan di bawah naungan Sustainable Brands Worldwide Conference, iaitu komuniti global terbesar yang mengetengahkan golongan inovatif untuk berusaha ke arah memapankan dunia.

Maklumat lanjut mengenai persidangan SB’22KL boleh didapati di https://sustainablebrandskl.com/. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN