PETALING JAYA: Koperasi Serbaguna Anak-anak Selangor Berhad (Kosas) yang dilantik sebagai pemegang lesen induk (Master Licensee) Richiamo Coffee Sdn. Bhd. menyasarkan sebanyak 100 koperasi turut serta membuka cawangan rangkaian kedai kopi premium itu dalam tempoh tiga tahun.
Untuk permulaan, enam koperasi telah menerima surat tawaran iaitu Koperasi Kumpulan Johawaki Berhad, Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad, Koperasi Universiti Putra Malaysia Berhad, Koperasi Usahawan MyOKU Selangor Berhad, Koperasi MyUsahawan Selangor Berhad dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pelantikan Kosas sebagai Master Licensee adalah bagi memudahkan koperasi-koperasi meneroka peluang perniagaan dalam sektor makanan dan minuman (F&B) menerusi pembukaan Richiamo Coffee bagi sebagai sumber pendapatan ahli-ahli mereka.
Ujarnya, koperasi kini bukan hanya terlibat dalam perniagaan kedai runcit malah turut meneroka peluang dalam sektor perumahan, pelancongan, hospital, perladangan dan kini arena baharu, F&B secara pemegang lesen.
“Melalui konsep ini, Kosas sebagai pemegang lesen induk akan memantau kemajuan pemegang lesen dan membuat penilaian untung rugi perniagaan yang dijalankan oleh koperasi tersebut.
“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan mempermudahkan pinjaman bagi pembukaan kedai kopi premium tersebut kepada koperasi yang berminat. Sebagai contoh, satu koperasi mahu membuka lima cawangan, jadi kita akan beri bantuan untuk lima cawangan itu melalui satu permohonan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Richiamo Coffee Kelana Jaya milik Kosas serta menyaksikan perjanjian pelantikan Kosas sebagai Master Licensee Richiamo Coffee, di sini.
Perjanjian ditandatangani oleh Mohd. Aini mewakili Kosas, manakala Richiamo Coffee Sdn. Bhd. diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Muhammad Zamry Abu Samah.
Sementara itu, Pengerusi Kosas, Datuk Mohd. Aini Taib berkata, usaha Kosas dapat membantu lebih banyak koperasi-koperasi Bumiputera menceburkan diri dalam perniagaan F&B dengan modal yang rendah.
“Idea untuk membuka cawangan Richiamo Coffee ini tercetus apabila saya melihat banyak kedai kopi seperti Starbucks dan Coffee Bean yang mendapat sambutan menggalakkan, jadi mengapa tidak kita menjadikan Richiamo Coffee satu jenama tempatan setanding dengan jenama-jenama lain.
“Jika jenama lain memerlukan modal sehingga RM1 juta untuk memulakan perniagaan, koperasi hanya perlu mengeluarkan modal kira-kira RM300,000 untuk membuka cawangan Richiamo Coffee.
“Saya berharap lebih banyak koperasi yang berminat untuk memulakan perniagaan Richiamo Coffee agar kedai kopi yang dipelopori anak jati Melayu ini berada di setiap kampung, pusat perniagaan dan pusat pengajian tinggi seluruh negara,” ujarnya.
Richiamo Coffee adalah jenama tempatan dan mula beroperasi pada 2015 dan sehingga pertengahan Julai lalu, cawangan kedai kopi premium itu telah mencecah sebanyak 105 cawangan di seluruh negara. – UTUSAN










