PETALING JAYA: Pasaran saham dan mata wang negara ringgit, dijangka akan terus meruap untuk minggu ini, menurut penganalisis ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penemuan kes Covid-19 sub varian BA.5 di Shanghai menunjukkan risiko untuk sekatan perjalanan adalah tinggi.
“Selain itu, data inflasi di Amerika Syarikat (AS) yang dijangka meningkat ke paras 8.7 peratus bagi Jun (berbanding Mei, sebanyak 8.6 peratus) juga bakal menaikkan nilai mata wang dolar AS.
“Ia berikutan pihak Rizab Persekutuan AS yang dijangka akan terus menaikkan kadar faedah antara 50 hingga 75 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 26 dan 27 Julai nanti.
“Justeru, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan mata wang ringgit dijangka kekal lemah.
“Indeks FBMKLCI dijangka berlegar sekitar 1,420 hingga 1,430 mata pada minggu ini. Manakala ringgit pula dijangka bergerak sekitar RM4.42 hingga RM4.43 bagi seunit dolar AS,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn. Bhd., Datuk Nazri Khan Adam Khan berkata, dagangan di Bursa Malaysia diunjur bergerak lebih tinggi minggu ini, sebahagianya disebabkan oleh tindakan pelabur untuk mengurangkan jangkaan mereka terhadap risiko kelembapan global.
Ujarnya, indeks penanda aras dijangka mencapai 1,450 mata minggu depan berikutan sentimen pelabur yang bertambah baik di tengah-tengah pengukuhan data ekonomi yang dilaporkan awal minggu ini.
“Data ekonomi Malaysia adalah lebih baik daripada jangkaan. Data pekerjaan dan pembuatan lebih kukuh berbanding sebelum Covid-19 menjadikan kebimbangan kemelesetan tidak berasas,” katanya.
Setakat 4 petang kelmarin, indeks penanda aras FBM KLCI meningkat 7.10 mata kepada 1,425.79 mata.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 445 berbanding 343, manakala 425 kaunter tidak berubah, dan 1,027 kaunter tidak diniagakan. – UTUSAN










