PETALING JAYA: Ringgit didagangkan menghampiri paras terendah dalam lima tahun semalam, dengan pelabur berhati-hati tentang pertumbuhan global yang perlahan dan prospek kenaikan kadar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) hujung minggu ini.
Kadar pertukaran dolar AS ke ringgit dibuka pada 4.4560 semalam, selepas meningkat kepada 4.4585 pada 19 Julai, tertinggi sejak Mac 2017.
Pada sesi tengah hari semalam, ringgit terus melemah pada 4.4570 sebelum ditutup pada 4.4560.
Kebanyakan mata wang Asia lain juga didagangkan dalam julat `sempit’ di tengah-tengah kekurangan pemangkin sebelum keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan hari ini.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kenaikan kadar faedah oleh Fed dijangka berlaku seiring dengan kenaikan kadar yang diputuskan oleh Bank Pusat Eropah sebanyak 0.5 peratus minggu lalu.
“Tekanan pasaran modal sangat terasa hinggakan Singapura turut menaikkan kadar faedahnya danan mengetatkan aliran tunainya melalui polisi monetari.
“Ringgit dijangka melepasi tahap sokongan RM4.50 sekiranya Fed AS mengumumkan kenaikan faedahnya antara 0.75 ke 1.0 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Aimi Zulhazmi menjelaskan, aliran modal global akan terarah kepada peningkatan kadar faedah minggu ini, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) yang sedang memantau dengan teliti perkembangan semasa.
“Pada September ini, BNM mungkin akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus lagi untuk mengimbangkan pasaran modal negara selari dengan pasaran AS dan reaksi pasaran-pasaran negara membangun lain.
“Penurunan harga komoditi utama seperti minyak mentah serta kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama minyak kelapa sawit juga tidak akan mempengaruhi unjuran mata wang ringgit,” ujarnya.
Dalam pada itu, CGS-CIMB Research berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia mungkin perlahan kepada 4.1 peratus pada 2023, daripada anggaran 5.2 peratus tahun ini, di tengah-tengah peningkatan risiko kemelesetan global.
Dana global membeli bersih AS$4.4 juta (RM19.61 juta) dalam ekuiti tempatan pada Isnin, menurut data pertukaran manakala hasil bon 10 tahun Malaysia sedikit berubah pada 3.99 peratus.
Harga minyak sawit turut jatuh untuk hari ketiga, kerana pasaran kekal berhati-hati tentang percubaan baharu oleh Indonesia untuk meningkatkan penghantaran ke luar negara. – UTUSAN










