PETALING JAYA: Ringgit terus lemah apabila melepasi 4.4500 berbanding dolar Amerika Syarikat.
Ketika berita ini ditulis, ringgit didagangkan pada 4.4503 berbanding dolar AS. Mata wang negara itu ditutup lebih rendah berbanding kelmarin pada 4.4490 daripada 4.4440.
Sepanjang tahun lalu, ringgit diniagakan antara 4.1300 dan 4.4505 berbanding dolar AS.
Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia, kali terakhir ringgit didagangkan rendah berbanding dolar ialah pada 2 Januari 2017 iaitu pada 4.47.
Penganalisis ekonomi menjangka, mata wang negara itu akan terus melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk jangka masa pendek.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jangkaan itu berikutan situasi di AS yang mengalami kadar inflasi yang tinggi, menyebabkan ada kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) akan menaikkan lagi kadar faedah.
“Itu sekali gus menyebabkan berlakunya ketidakstabilan mata wang dunia berbanding dolar AS. Namun begitu, untuk jangka sederhana, saya melihat ringgit akan kembali mengukuh berbanding dolar AS kerana asas ekonomi kita masih kukuh dan volum eksport masih mengembang,” katanya.
Dalam sesi dagangan semalam, ringgit turut didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain dengan pound pada 52503/.2661; euro 4.4560/4628; yen 3.2028/2050 dan dolar Singapura 3.1685/1681.
Sementara itu, Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pula dibuka mendatar untuk seketika pada pagi semalam tetapi bertukar rendah apabila sentimen masih lagi dalam keadaan berhati-hati berikutan ketidaktentuan prospek ekonomi global.
Pada pagi semalam, FBM KLCI susut 1.57 mata kepada 1,418.49 daripada 1,420.06 penutupan urus niaga kelmarin.
Setakat 5 petang semalam pula, penanda aras FBM KLCI terus merosot -1.62 mata kepada 1,418.44.
Di pasaran yang lebih meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 425 berbalas 388, manakala 419 kaunter tidak berubah dan 1,044 kaunter tidak diniagakan.
Menurut Malacca Securities Sdn. Bhd. dalam satu nota penyelidikan, bursa tempatan mungkin kekal suram dalam tempoh terdekat, mengambil petunjuk daripada sentimen bercampur-campur di Wall Street di tengah-tengah pendapatan bank yang kurang menggalakkan.
“Pelabur boleh memilih saham dengan pinjaman minimum di bawah sektor pengguna dan REIT memandangkan persekitaran kitaran naik kadar faedah,” katanya. – UTUSAN










