Ringgit susut nilai sebanyak 0.7 peratus, Bursa merosot 8.0 peratus

Ringgit susut nilai sebanyak 0.7 peratus, Bursa merosot 8.0 peratus

NILAI ringgit yang rendah menyebabkan harga barangan import semakin mahal. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Ringgit menyusut nilai sebanyak 0.7 peratus pada Jun berikutan kekukuhan dolar AS secara menyeluruh, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank Pusat itu berkata, bagi tempoh berkenaan, Indeks FBM KLCI Bursa Malaysia merosot sebanyak 8.0 peratus.

Jelasnya, pada Jun keadaan pasaran kewangan global menjadi ketat susulan kenaikan 75 mata asas dalam kadar dana persekutuan AS berikutan tekanan inflasi negara itu yang tinggi.

Kenaikan itu, jelasnya, merupakan yang terbesar sejak 1994. Hal ini seterusnya telah menimbulkan kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan ekonomi AS dan global.

“Namun, pelarasan pasaran kewangan domestik kekal teratur dalam keadaan prospek pemulihan ekonomi yang positif.

“Berikutan aliran keluar portfolio asing daripada pasaran bon domestik, kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 9.0 mata asas, iaitu peningkatan yang lebih kecil berbanding dengan kadar hasil bon serantau,” katanya dalam kenyataan Sorotan Bulanan Jun.

Mengulas lanjut, BNM memberitahu, pembiayaan bersih pada bulan berkenaan meningkat sebanyak 5.0 peratus didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman terkumpul manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul kekal tidak berubah pada 3.4 peratus.

“Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat merentas semua tujuan pinjaman (5.9 peratus berbanding 5.0 peratus pada Mei) mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pengeluaran pinjaman, terutamanya untuk kereta dan rumah.

“Bagi perniagaan, pinjaman terkumpul meningkat pada 5.8 peratus apabila pertumbuhan dalam pengeluaran pinjaman mengatasi pertumbuhan bayaran balik pinjaman.

“Mengikut sektor, pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi mencerminkan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam perdagangan borong dan runcit, serta pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi,” katanya lagi.

Jelasnya, Inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.4 peratusdaripada 2.8 peratus pada Mei, mencerminkan terutamanya inflasi teras yang lebih tinggi.

Menurut Bank Pusat itu, kenaikan disumbangkan terutamanya oleh inflasi yang lebih tinggi untuk makanan di luar rumah, perbelanjaan di restoran dan kafe serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.

“Peningkatan yang secara relatif mendadak ini mencerminkan tekanan harga yang lebih tinggi berikutan konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine, keadaan cuaca buruk di negara pengeksport makanan utama, dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh dan permintaan dalam negeri yang bertambah baik.

“Bagaimanapun, inflasi keseluruhan dijangka kekal dalam julat unjuran 2.2 peratus hingga 3.2 peratus untuk tahun itu,” katanya.

Bagi eksport pula, ujarnya, eksport mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 38.8 peratus (berbanding 30.4 peratus pada Mei) kepada RM146.2 bilion, iaitu paras eksport tertinggi yang pernah dicatatkan.

Jelas BNM, keadaan itu mencerminkan produk eksport Malaysia yang terus kukuh, didorong oleh permintaan global yang utuh terhadap eksport perkilangan serta harga komoditi yang tinggi.

Pada masa hadapan, katanya, pertumbuhan eksport dijangka terus disokong oleh permintaan luaran yang berterusan terhadap semikonduktor, meskipun pada kadar yang sederhana berikutan pertumbuhan global yang lebih perlahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×