Ringgit diunjur lepasi tahap sokongan RM4.50

Ringgit diunjur lepasi tahap sokongan RM4.50

PRESTASI ringgit turun naik didorong oleh persekitaran global terutama ekonomi Amerika Syarikat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai ringgit mungkin melepasi RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) beberapa minggu lagi, lebih awal daripada ramalan penganalisis ekonomi terdahulu iaitu menjelang akhir tahun ini.

Semalam, ringgit dibuka pada 4.4550 berbanding dolar AS seterusnya menambah nilai kepada 4.4570 pada sesi te­ngah hari sebelum ditutup pada 4.4495.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, laporan kadar inflasi AS mencecah 9.1 peratus untuk Jun, melebihi jangkaan awal Rizab Persekutuan (Fed) AS iaitu 8.0 peratus memberikan petunjuk bahawa negara itu bakal akan menaikkan lagi kadar faedahnya antara 0.75 ke 1.0 peratus.

“Dasar monetari AS dan kenaikan kadar dijangka diketatkan dalam masa terdekat bagi membendung kenaikan inflasi.

“Ini telah mulai mencetuskan aliran pasaran modal dunia termasuk Malaysia ke arah pasaran modal AS terutama kepada pasaran bon perbendaharaan AS.

“Justeru, ringgit dijangka akan melepasi tahap sokongan RM4.50 dalam tempoh beberapa minggu ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bulan lalu, Fed melancarkan strateginya terhadap inflasi dengan menaikkan kadar faedah penanda aras sehingga 0.75 peratus dalam satu langkah yang menyamai kenaikan paling agresif sejak 1994.

Dengan menaikkan kadar faedah secara mendadak, Fed berharap untuk mengurangkan permintaan pengguna, yang telah mengatasi bekalan sekali gus mendorong kenaikan harga.

Mengulas mengenai pasaran saham, Aimi Zulhazmi berkata, pasaran saham negara dijangka didagangkan berhati-hati dengan aliran keluar pelabur antarabangsa berterusan akibat daripada situasi semasa di AS.

Jelasnya, aksi dan tindak balas Fed AS dalam menangani situasi kadar inflasi yang tinggi dan mengelakkan ekonomi negara itu terjerumus dalam kemelesetan akan menjadi perhatian seluruh dunia.

“Perlu diingatkan, kenaikan kadar dolar AS merupakan yang tertinggi dalam tempoh20 tahun, malah melebihi nilai tukaran mata wang Euro-dolar yang sebelum ini lebih tinggi nilainya dari dolar, kini melemah di bawah dolar pula.

“Kita juga tidak boleh membanding mata wang ringgit dan dolar Singapura kerana strategi bank pusat masing-masing adalah berbeza. Pihak Berkuasa monetari Singapura (MAS) juga mempunyai simpanan semasa yang lebih banyak iaitu lebih dari AS$300 bilion,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, prestasi ringgit dijangka kekal bercampur-campur kerana beberapa faktor global yang menyebabkan ketidaktentuan dalam permintaan pasaran.

Ujarnya, ia termasuk krisis inflasi yang tinggi di AS, kemungkinan China meneruskan lockdown untuk menangani pandemik Covid-19 dan juga ketidakstabilan harga komoditi seperti minyak petroleum dan minyak sawit.

“Bursa Malaysia juga akan kekal bercampur-campur kerana ketidaktentuan pasaran global turut mempengaruhi prestasi saham tempatan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN