PETALING JAYA: Indeks Pelopor (IP) Malaysia, yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan atau penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan kembali pulih mencatatkan pertumbuhan positif 2.2 peratus pada Mei 2022.
Ia sekali gus menunjukkan prospek ekonomi negara yang lebih positif bagi bulan-bulan akan datang.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan IP disokong terutama oleh kenaikan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain yang dipacu oleh permintaan import berasaskan platinum yang menggalakkan.
“Selaras dengan itu, IP berkembang kepada 0.4 peratus berdasarkan perbandingan bulanan dengan pertumbuhan disokong secara signifikan oleh prestasi yang baik dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (1.2 peratus), import benar logam asas berharga & logam bukan ferus lain (0.2 peratus) dan bilangan syarikat baru didaftar (0.1 peratus).
“Keseluruhannya, IP menunjukkan prestasi yang lebih baik pada Mei 2022 dengan indeks arah aliran jangka panjang kekal di atas 100 mata, menjangkakan tinjauan ekonomi yang positif pada bulan-bulan akan datang.
“Melangkah ke hadapan, pengurusan inflasi yang cekap dan berkesan oleh kerajaan adalah amat penting bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai Prestasi Indeks Serentak (IS), Mohd. Uzir berkata, pengukur yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa itu menunjukkan prestasi tahun ke tahun yang lebih baik dengan pertumbuhan 6.4 peratus pada Mei 2022 berbanding 5.3 peratus yang direkodkan pada April 2022.
“Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS meningkat 0.8 peratus pada bulan dikaji disokong oleh sumbangan positif terbesar daripada Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.7 peratus),” katanya. – UTUSAN