PENGILANG tolak 4 hari bekerja

PENGILANG tolak 4 hari bekerja

Pengurangan hari bekerja boleh menjejaskan produktiviti dan pendapatan syarikat serta negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majoriti ahli Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) menolak cadangan pengurangan hari bekerja daripada lima kepada empat hari seminggu.

Malah, majoriti ahli Pengilang yang merupakan pemilik kilang menyifatkan, pengurangan hari bekerja mampu meletakkan risiko kilang mereka berhadapan dengan kekurangan pendapatan atau lebih teruk lagi terpaksa tutup perniagaan.

Presiden Pengilang, Datuk Azman Yusoff berkata, cadangan itu amat tidak bernas buat masa sekarang kerana majoriti tahap kerja pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta masih belum berada di tahap yang efisien dan ia boleh
mengurangkan hasil atau pendapatan sesebuah agensi atau syarikat.

“Malaysia sendiri merupakan salah satu negara yang paling banyak cuti am dan majikan di Malaysia terutama dalam kalangan SME (perusahaan kecil dan sederhana) perlu mengimbangi produktiviti syarikat dengan hari-hari cuti ini.

“Pengurangan hari kerja mingguan pasti menambahkan lagi beban terhadap majikan.

“Semenjak pandemik Covid-19, telah banyak kelonggaran diberikan majikan kepada pekerja, antaranya ialah ‘work from home’, dan waktu kerja fleksibel. Kelonggaran ini sudah mencerminkan keprihatinan majikan terhadap pekerja bawah jagaan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas laporan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji pelaksanaan waktu bekerja kepada empat hari daripada lima atau enam hari seminggu.

Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dilaporkan berkata, kajian itu antara lain akan melihat bidang mana dalam perkhidmatan awam yang bersesuaian untuk pelaksanaan tempoh masa kerja berkenaan serta jumlah waktu bekerja dalam sehari.

Katanya, kajian akan turut melihat aspek pulangan pelaburan, sama ada tempoh waktu bekerja itu relevan untuk dilaksanakan atau tidak.

Menurut Azman, Kesatuan Pekerja-Pekerja di Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga menganggap kajian untuk empat hari bekerja sama sekali tidak relevan dan penekanan harus diberikan kepada kebajikan penjawat awam yang belum terlaksana.

“Kaji selidik daripada Quatrils juga mendapati 62 peratus pekerja lebih gemar dengan fleksibiliti bekerja berbanding empat hari bekerja.

“PENGILANG berharap pihak kerajaan mengkaji secara teliti idea ini dan apakah impak pengurangan hari bekerja ini secara terus kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

Menurut laporan, antara negara yang sudah mula melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu adalah Belgium, Iceland, Scotland, Sepanyol, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN