OPR: M40 terima impak paling besar

OPR: M40 terima impak paling besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.25 peratus minggu lalu memberi impak paling besar kepada kumpulan isi rumah M40.

Ini kerana kumpulan tersebut kebanyakannya mempu­nyai komitmen pinjaman bank terutamanya pembiayaan perumahan sehingga RM700,000, mengikut kadar pendapatan mereka di antara RM4,850 dan RM10,959.

Pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, golo­ngan M40 yang mempunyai pembiayaan perumahan akan mengalami kenaikan faedah serta-merta ditambah pula de­ngan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup kini.

“Sebagai contoh, jika me­reka membiayai pinjaman RM500,000, kesan setiap 25 mata asas akan meningkatkan pinjaman mereka kira-kira RM120. Sekarang sudah dua kali kenaikan dan jika berlaku kenaikan sehingga 3.0 peratus seperti yang dijangkakan, mereka perlu membayar lebih RM500 lagi daripada pembayaran bulanan sekarang.

“Kesannya akan jadi sangat besar kepada peminjam dalam kalangan M40. Golongan B40 mungkin tidak mempunyai pinjaman yang begitu besar jadi tidaklah begitu membebankan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jawatankuasa Dasar Mo­netari (MPC) BNM minggu lalu memutuskan untuk menaikkan OPR yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan iaitu sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.

Ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu.

Akan datang, BNM dijangka menaikkan lagi OPR sehingga 3.0 peratus tahun hadapan bagi meredakan tekanan inflasi.

Mengulas jangkaan tersebut, Barjoyai berkata, sekiranya berlaku peminjam perlu membuat perancangan untuk berpindah kepada sistem pembiayaan Islam yang tidak ditubuhkan untuk mendapatkan keuntungan setinggi mungkin.

“Perbankan Islam tidak akan bersama-sama menaikkan OPR seperti yang diumumkan ke­rana kadar telah ‘dikunci’ pada 2.25 peratus dan tidak akan menaikkan kadar keuntungan yang dikenakan kepada pelanggan,” ujarnya.

Tambah beliau, pengusaha perniagaan juga akan terjejas sekiranya mereka menggunakan pinjaman overdraft dan kad kredit dalam urusan perniagaan mereka kerana OPR yang semakin meningkat.

“Ini masa yang penting untuk mereka merancang dan menstruktur semula kewangan mereka. Pinjaman overdraft tidak sepatutnya digunakan untuk membeli harta atau pe­r­belanjaan modal.

“Begitu juga dengan kad kredit, ia tidak sepatutnya digunakan untuk pembelian barangan perniagaan kerana kad kredit perlu dikhaskan untuk kegunaan di waktu kecemasan atau urusan peribadi sahaja tanpa membabitkan urusan perniagaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN