OPR dijangka naik sehingga 3 peratus 2023

OPR dijangka naik sehingga 3 peratus 2023

Kenaikan berterusan OPR bakal memberi kesan berantai kepada perniagaan dan pengguna apabila terpaksa membayar kadar fAedah lebih tinggi untuk setiap pinjaman dibuat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis percaya Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) secara beransur-ansur sehingga mencecah 3.0 peratus menje­lang tahun depan.

Majoriti percaya kenaikan kadar akan berterusan untuk baki tahun ini di tengah-tengah peningkatan inflasi dan BNM akan meneruskan pengetatan dasarnya dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan datang.

Kelmarin, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus. Kadar ter­tinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.

Dalam satu nota, Kenanga Investment Bank Bhd. berkata, kenaikan kadar selanjutnya dijangka disebabkan oleh tekanan inflasi yang meningkat di tengah-tengah kenaikan harga makanan dan pemulihan yang berterusan dalam permintaan dalam negeri seperti yang ditunjukkan penunjuk frekuensi tinggi terkini seperti kadar pengangguran, jualan runcit dan import.

Ujarnya, ini juga selari de­ngan kitaran pengetatan dasar monetari bank pusat global terutamanya untuk memerangi kenaikan inflasi.

“Namun, BNM tidak mungkin memulakan kitaran pengetatan yang agresif seperti kenaikan 50 mata asas (bps) melainkan kadar inflasi melebihi julat sasarannya didorong oleh permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan.

“Kami mengekalkan unjuran kami yang BNM akan menaikkan OPR secara beransur-ansur sebanyak 25 mata asas di setiap mesyuarat MPC September dan November, dengan kenaikan terakhir pada suku pertama 2023. Oleh itu, kadar dasar dijangka berakhir pada 2.75 peratus menjelang akhir tahun ini dan 3.0 peratus pada 2023,” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank berkata, kajiannya melihat jumlah kenaikan sehingga 75 mata asas tahun ini dan 50 mata asas lagi kenaikan OPR tahun hadapan kepada 3.0 peratus.

“Kami menjangkakan penilaian MPC BNM tentang kelembapan pertumbuhan ekonomi global di satu pihak di tengah-tengah risiko menurun daripada tekanan inflasi, konflik di Ukraine, keadaan rantaian bekalan global dan turun naik pasaran kewangan.

“MPC juga mengulangi bahawa proses melepaskan mo­netari rangsangan dasar akan “diukur dan beransur-ansur” yang kami tafsirkan menunjukkan kenaikan OPR selanjutnya akan menjadi kuantum 25 mata asas, walaupun Fed AS mening­katkan kadar faedah daripada 25 mata asas pada Mac kepada 50 mata asas pada Mei dan 75 mata asas pada bulan lalu,” katanya.

Dalam pada itu, CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, BNM dijangka memantau perkembangan ekonomi pada masa hadapan, terutamanya jika pertumbuhan permintaan dalam negeri kukuh dan tidak terkawal di tengah-tengah subsidi yang besar.

“Dalam kemungkinan itu, kenaikan kadar ketiga tahun ini mungkin akan berlaku sehingga meletakkan OPR akhir 2023 pada 3.0 peratus,” katanya.

AmBank Research pula menjangkakan BNM akan mengamalkan pendirian yang lebih agresif dalam usaha meredakan inflasi dan membantu menyokong kelemahan ringgit bukan sahaja berbanding dolar AS tetapi juga pada kadar silang.

“Kami dapati kenaikan 50bps sekali sahaja nampaknya sangat tidak mungkin. Kami berpandangan OPR akan berakhir pada 2.5 hingga 2.75 peratus pada 2022, dengan dua lagi kenaikan pada 2023 kepada 3.0 peratus hingga 3.25 peratus,” ujarnya.

Kenaikan OPR itu akan meningkatkan kadar pinjaman rakyat yang kini berdepan tekanan kenaikan kos sara hidup dan harga barangan keperluan yang tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN