Naikkan had, elak lebih ramai muflis – Pakar ekonomi

Naikkan had, elak lebih ramai muflis – Pakar ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah rakyat Malaysia muflis dijangka terus meningkat pada separuh kedua tahun ini sekiranya kerajaan tidak menaikkan nilai ambang (minimum treshold) bagi pengisytiharan tersebut.

Kerajaan pernah menaikkan nilai ambang daripada RM50,000 ke RM100,000 yang berkuat kuasa sehingga 31 Ogos tahun lalu.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata berkata, kenaikan kadar faedah berikutan keputusan Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru dan akan datang, akan menambah kesusahan rakyat.

Kata beliau, kenaikan itu juga menambah tekanan selain kenaikan kadar inflasi.

Sehubungan itu, beliau menya­rankan kerajaan menaikkan had seseorang itu boleh dikenakan muflis, mengambil kira kos sara hidup semasa dan krisis ekonomi global yang tidak menentu.

“Kerajaan cuba mengurangkan kesan tersebut melalui pe­ningkatan gaji minimum dan jumlah subsidi, tetapi dalam suasana krisis ekonomi yang membimbangkan, langkah lebih drastik perlu dilaksanakan.

“Laporan dan data di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mesti dikaji sete­rusnya pelan yang lebih agresif mesti disusun dan dilaksanakan secara strategik.

“Malaysia mesti pantas belajar bagaimana negara maju melindungi masyarakat mereka daripada kesan ekonomi yang dahsyat. Ini juga akan membantu meletakkan Malaysia dalam faktor tarikan pelaburan langsung asing (FDI),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Aimi Zulhazmi berkata, kenaikan had muflis perlu dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan memandangkan jumlah rakyat muflis semakin meningkat dalam situasi endemik kini.

Beliau berkata, peningkatan jumlah individu muflis dalam negara sudah dijangka kerana rakyat masih dalam proses pulih daripada kesukaran akibat pandemik.

Ujarnya, walaupun moratorium tamat pada Mac 2022, ramai peminjam tidak melanjutkan kemudahan itu menyebabkan peningkatan jumlah pinjaman tidak berbayar, mungkin kerana pendapatan dikurangkan dan sebagainya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, bilangan rakyat Malaysia muflis mungkin bertambah dua kali ganda sekiranya OPR dinaikkan sekali lagi iaitu sekurang-kurangnya 25 mata asas (bps) menjelang akhir tahun ini.

Ini kerana, sebanyak 46,132 individu diisytiharkan muflis sejak 2018 sehingga Mei lalu termasuk 10,317 orang yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini turut memaklumkan kerajaan akan mengkaji semula undang-undang berkaitan kebankrapan yang menghalang anak muda diisytiharkan muflis daripada be­kerja serta menjalankan perniagaan bagi melunaskan hutang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN