LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson melantik Nadhim Zahawi sebagai Menteri Kewangan menggantikan Rishi Sunak yang meletak jawatan sebagai protes terhadap kepimpinan beliau.
Nadhim Zahawi mengambil alih tampuk ketika ekonomi Britain bergelut di bawah tekanan inflasi hampir dua angka dan kelembapan yang kelihatan lebih teruk berbanding kebanyakan negara besar lain di dunia.
Sebagaimana Rishi Sunak, beliau akan menghadapi tekanan untuk berbelanja lebih dan mengurangkan cukai daripada penggubal undang-undang dalam Parti Konservatif pimpinan Johnson yang telah popularitinya semakin merosot, lapor Reuters.
Bekas Menteri Pendidikan itu yang mengasaskan firma tinjauan pendapat YouGov sebelum memasuki Parlimen, dijangka memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu Brexit yang masih belum berakhir antara Britain dan Kesatuan Eropah.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada April lalu meramalkan Britain pada 2023 menghadapi pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan inflasi yang lebih berterusan berbanding mana-mana ekonomi utama lain di dunia.
Sejak itu, nilai paound sterling terus jatuh dan mencecah paras terendah dua tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, yang akan menambah kepada peningkatan tekanan inflasi di negara berkenaan.
Inflasi mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun sebanyak 9.1 peratus pada Mei lalu dan Bank of England meramalkan ia akan mencapai 11 peratus Oktober ini.
Dengan Bank of England menaikkan kadar faedah dan keyakinan yang merosot dalam kalangan isi rumah dan beberapa perniagaan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Britain menyusut pada April dan dijangka menguncup sepanjang suku kedua.
Kebanyakan ahli ekonomi berpendapat, dalam jangka pendek ia akan mengelakkan definisi teknikal kemelesetan – penguncupan dua suku berturut-turut – sebahagiannya disebabkan oleh langkah sokongan kos sara hidup kecemasan terkini yang diumumkan oleh Rishi Sunak pada Mei lalu.
Namun, dengan pertumbuhan yang berkemungkinan perlahan sehingga terhenti tahun depan, terdapat gesaan daripada penggubal undang-undang Parti Konservatif untuk mengurangkan cukai nilai tambah pada musim luruh – satu langkah yang berpotensi menelan belanja puluhan bilion pound.
Ia akan meningkatkan hutang awam Britain yang melonjak melebihi 2 trilion pound ($2.39 trilion) semasa wabak Covid-19 dan kini mencapai hampir 96 peratus daripada KDNK.
Johnson dan Rishi Sunak dilaporkan sering berselisih pendapat tentang berapa banyak lagi yang perlu dipinjam oleh kerajaan.
Dalam pengumuman peletakan jawatannya pada Selasa, Sunak yang sering menekankan kepentingan membetulkan kewangan awam berkata, ia menjadi jelas bahawa pendekatannya untuk mentadbir ekonomi “pada asasnya terlalu berbeza” dengan Johnson. – AGENSI










