MR D.I.Y kekal harga barang

MR D.I.Y kekal harga barang

ADRIAN Ong (tengah), Ketua Pemasaran MR D.I,Y, Alex Goh (dua kiri) bersama pengurusan kanan syarikat itu pada majlis pelancaran MR D.I.Y Plus di Mid Valley Megamall, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MR D.I.Y Group (M) Berhad (MR D.I.Y), tiada rancangan untuk menaikkan harganya dan akan memastikan harga produk MR D.I.Y sentiasa rendah di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y, Adrian Ong berkata, pihaknya akan terus memberi fokus untuk menawarkan produk mampu milik kepada rakyat Malaysia.

“Walaupun negara berdepan dengan inflasi dan kos sara hidup yang tinggi, kami melihat segmen peruncitan masih mendapat permintaan.

“Oleh itu, fokus kumpulan sekarang adalah untuk memastikan keperluan pelanggan dipenuhi.

“Untuk masa depan, kami merancang untuk membuka 180 cawangan lagi di dalam negara untuk tahun ini melibatkan rangkaian MR D.I.Y, MR DOLLAR dan MR TOY,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

MR. D.I.Y turut menampilkan konsep rangkaian baharunya dengan membuka cawangan pertama MR D.I.Y Plus berkeluasan 30,000 kaki persegi, di MidValley Megamall, Bangsar bagi memberi pengalaman membeli-belah terbaik kepada orang ramai.

Menurut Adrian, sejak dibuka pada 19 Mei lalu, MR D.I.Y Plus telah menerima lebih 200,000 kunjungan pelanggan dan menjadi lembaran baharu untuk kumpulan menyediakan lebih banyak produk berkualiti pada harga mampu milik.

Ujarnya, terdapat lebih 20,000 produk di MR DIY Plus yang bukan hanya terdiri daripada barangan MR D.I.Y, tetapi MR DOLLAR dan MR TOY.

“Kami akan menambah produk dari masa ke masa dan merancang membuka 10 lagi cawangan MR D.I.Y Plus di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua tahun lagi.

“Kami tahu pelanggan sekarang mahukan nilai hebat, kemudahan kedai sehenti dan faedah tambahan daripada pengalaman membeli-belah yang menarik,” katanya.

MR D.I.Y Plus menyertai barisan jenama kumpulan itu pada Mei 2022, termasuk MR D.I.Y jenama yang dilancarkan pada 2005, diikuti oleh MR TOY (2019), MR DOLLAR (2020) dan MR D.I.Y Ekspres (2021).

MR D.I.Y Plus mempamerkan kira-kira 20,000 jenis produk bagi lima kategori utama iaitu perkakasan, isi rumah dan kelengkapan, elektrik, alat tulis, peralatan sukan dan lain-lain (terdiri daripada mainan, aksesori kereta, barang kemas, kosmetik, barangan makanan dan minuman, serta barangan kesihatan dan penjagaan diri). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN