BENGALURU: Mata wang Asia memulakan sesi dagangan minggu ini di bawah tekanan sedikit berikutan kebimbangan pelabur tentang prospek ekonomi global menjelang data penting yang akan dikeluarkan oleh Amerika Syarikat dan China.
Yuan China, dolar Singapura dan won Korea Selatan merosot antara 0.1 dan 0.2 peratus, manakala rupee India melemah kepada rekod rendah baharu dalam menghadapi kekuatan dolar AS.
Dolar AS kekal menghampir paras kemuncak 20 tahun, didorong oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang hawkish (agresif) dan kemungkinan kemelesetan global mendorong ramai pelabur untuk beralih kepada bos AS yang lebih selamat.
“Fokus minggu ini kembali kepada inflasi, terutamanya CPI AS (indeks harga pengguna) dan implikasi dasar Fed yang hawkish,” kata Stephen Innes, Rakan Kongsi Urusan di SPI Asset Management, lapor Reuters.
Dalam laporan harga pengguna AS pada Rabu, inflasi utama dijangka terus meningkat kepada 8.8 peratus.
Menambah kebimbangan di rantau ini ialah peningkatan kes Covid-19 di China. Beberapa bandar menguatkuasakan sekatan baharu melibatkan penggantungan hingga kepada penutupan perniagaan, untuk menyekat kluster baharu.
Shanghai, hab ekonomi China dilaporkan sedang bersedia untuk satu lagi kempen ujian besar-besaran selepas mengesan subvarian BA.5 Omicron.
Data dari China yang akan dikeluarkan pada Jumaat, berkemungkinan mengesahkan ekonomi kedua terbesar di dunia itu menguncup mendadak pada suku kedua di tengah-tengah sekatan coronavirus.
Saham di Shanghai jatuh sebanyak 1.6 peratus untuk mencecah paras terendah sejak 23 Jun. Saham di Taipei dan Manila pula jatuh melebihi 0.5 peratus.
Jurang yang mengecil antara kadar faedah dan kadar AS di negara-negara Asia telah membebankan mata wang tempatan. Peso Filipina dan baht Thailand masing-masing jatuh 9.7 peratus dan 7.6 peratus tahun ini.
Gabenor bank pusat Filipina berkata, ia bersedia untuk menaikkan kadar dasarnya sebanyak 50 mata asas pada mesyuarat Ogos ini, dan disusul dengan tindakan dasar selanjutnya untuk mengawal inflasi dan mengatasi susut nilai mata wang.
Bank pusat Thailand pula berkata, ia akan membiarkan baht bergerak sejajar dengan kuasa pasaran tetapi akan menguruskan sebarang turun naik yang berlebihan dalam mata wang.
Semalam, peso turun 0.2 peratus, manakala baht mengatasi arah aliran serantau untuk mengukuh 0.1 peratus.
Sementara itu, rupee Sri Lanka jatuh hampir 2 peratus apabila Presiden Gotabaya Rajapaksa memaklumkan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe akan meletakkan jawatan, selepas puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasmi kedua-dua pemimpin itu.
Saham Singapura dan pasaran saham serta dan mata wang di Malaysia ditutup semalam. – AGENSI










