Kerajaan usaha dapatkan semula RM5 bilion hasil yang hilang

Kerajaan usaha dapatkan semula RM5 bilion hasil yang hilang

PELBAGAI jenama rokok seludup berjaya dirampas oleh pihak berkuasa dalam operasi penguatkuasaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zaf­rul Tengku Abdul Aziz mendedahkan, terdapat usaha berterusan untuk mendapatkan semula RM5 bilion hasil yang hilang akibat penyeludupan rokok dan minuman keras.

Menurut beliau, projek pemulihan itu sedang diterajui oleh pasukan petugas pelbagai agensi serta Pusat Jenayah Anti-Kewa­ngan Kebangsaan (NFCC).

“Projek yang melibatkan operasi bersama agensi penguatkuasaan berkaitan itu menyasarkan untuk mendapatkan semula RM5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Usaha kerajaan menentang jenayah berisiko tinggi melalui kerjasama kukuh merentasi agensi penguatkuasaan dan komuniti risikan kewangan telah membuahkan hasil.

“Sebagai contoh, pada 2021, pendedahan transaksi yang mencurigakan telah mengakibatkan 70 tangkapan atas pelbagai kesa­lahan, RM136 juta hasil jenayah dibekukan atau disita dan perolehan hasil lebih RM255 juta,” katanya dalam ucapan pada mesyuarat tahunan Kumpulan Asia/Pasifik di sini, semalam.

Tambah Tengku Zafrul, Malaysia telah meningkatkan kedudukannya dalam Petunjuk Tadbir Urus Dunia sejak 10 tahun lalu dari segi akauntabiliti, kualiti kawal selia, kedaulatan undang-undang dan kawalan rasuah.

Ujarnya, negara menunjukkan progres yang lebih baik daripada purata di rantau Asia Timur dan Pasifik, terutamanya dalam keberkesanan kerajaan dan kualiti kawal selia.

Tengku Zafrul juga memberitahu, di masa depan, kerajaan berhasrat untuk memperkasakan badan kawal selia kendiri dalam memacu usaha pembinaan kapasiti untuk memantau pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan dalam sektor mereka.

Badan tersebut termasuk Majlis Peguam Malaysia dan Institut Akauntan Malaysia.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×