Jualan Perodua melonjak 30 peratus

Jualan Perodua melonjak 30 peratus

Myvi model Perodua terlaris di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menjual 127,343 kenderaan dalam separuh pertama 2022, melonjak 30 peratus daripada daripada 97,290 unit yang dijual pada enam bulan pertama tahun lalu.

Ia berikutan permintaan kukuh untuk kenderaan pada Januari hingga Jun lalu disebabkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan.

Daripada 127,343 unit yang didaftarkan, Myvi masih menjadi model paling laris dengan 38,039 unit didaftarkan diikuti Axia (29,183) dan Bezza (28,719).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, tempahan kenderaan secara tergesa-gesa dilihat ketara terutama apabila kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023

“Pada hari terakhir inisiatif itu, Perodua menyaksikan tempahan harian tertinggi pada 30 Jun 2022 dengan 25,100 tempahan kenderaan telah diambil.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya bukti potensi pertumbuhan industri automotif Malaysia dengan pemberian insentif yang betul.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah melanjutkan tarikh akhir penghantaran kepada 31 Mac 2023 dan kami amat memerlukan tempoh itu untuk memenuhi permintaan yang ada setakat ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, faktor utama lain yang menyumbang kepada prestasi ialah pendaftaran kenderaan yang rendah pada Jun tahun lepas disebabkan penutupan kali kedua dalam mengurangkan kes jangkitan Covid-19.

Sebagai perbandingan, untuk Jun 2021, Perodua hanya mencatatkan 1,009 unit, manakala pada Jun 2022 sebanyak 21,164 unit.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, prestasi jualan Perodua meningkat 10.7 peratus daripada 18,901 unit yang didaftarkan pada Mei 2022.

Menurut Zainal, peningkatan pendaftaran pada Jun 2022 juga disebabkan bekalan alat ganti yang lebih baik berbanding Mei.

Walaubagaimanapun, beliau menyatakan isu-isu seperti tenaga kerja mahir dan kekurangan alat ganti masih wujud dan memohon agar para pelanggan dapat memahami keadaan ini.

“Kami telah mengambil langkah termasuk bekerjasama dengan para pembekal kami dan dalam beberapa kes tertentu, Perodua turut menyediakan kakitangannya untuk bekerja di premis mereka bagi memastikan bekalan alat ganti tersedia.

“Kami berharap isu tenaga kerja ini dapat diselesaikan dengan segera kerana impaknya kepada industri dan kepada negara secara amnya,” katanya.

Tambahnya, di sebalik isu ini, Perodua masih mengekalkan sasaran jualan keseluruhan tahun ini sebanyak 247,800 unit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN