KLANG: Syarikat kenderaan dan perkhidmatan rel bersepadu, Hartasuma Sdn. Bhd. bersedia melengkapkan pembekalan 27 tren Transit Aliran Ringan (LRT) baharu melibatkan 108 gerabak bagi laluan Kelana Jaya.
Pertambahan tren tersebut adalah menerusi peruntukan Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur atau ‘Kuala Lumpur Additional Vehicle’ (KLAV) 27 yang bernilai RM1.72 bilion yang dijangka akan dibekalkan syarikat tempatan berkenaan bermula Julai tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pembekalan itu sedang dilaksanakan menerusi konsortium antara Hartasuma dan peneraju global dalam pembuatan kenderaan rel, Alstom S.A.
“Kini, ia dalam proses akhir pelaksanaan ujian sebelum ditambah untuk kegunaan laluan Kelana Jaya kelak. Tren kesembilan dan berikutnya akan dibekalkan secara berperingkat sehingga Disember 2024,” katanya selepas meninjau operasi pemasangan tren itu dekat Ibu Pejabat Hartasuma di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, semalam.
Jelas Ka Siong, kesemua tren itu melibatkan hampir 45 peratus hasil pemasangan tempatan berbanding luar negara sebelum ini.
“Kita sebelum ini banyak menggunakan khidmat luar untuk pemasangan itu kerana kurang kepakaran. Namun, keadaan kini berbeza dan kerajaan amat berbangga kerana Malaysia mampu melakukannya sendiri tanpa kebergantungan lain,” jelasnya.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon berkata, Hartasuma dalam proses memasang komponen bawah gerabak atau bogie untuk gerabak LRT berkenaan.
“Kita turut bekerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Kenderaan Rel Nasional (NRCOE) untuk menjadi vendor Tahap 1 yang layak bagi pemasangan dan baik pulih bogie tempatan di bawah Program Pembangunan Industri Kenderaan Rel (RIDP).
“Inisiatif itu meningkatkan keupayaan Malaysia dari segi teknikal dan membantu mengurangkan aliran keluar modal,” katanya. – UTUSAN









