
Hampir semua peminat motosikal tempatan tahu tentang perlancaran daripada Suzuki Malaysia terhadap trio model berkapasiti 150cc. Raider 150cc, merupakan percubaan Suzuki Malaysia yang ‘baharu’ dalam kategori motosikal moped atau lebih dikenali sebagai ‘kapcai’. Belum pun reda tentang kegairahan para pencinta motosikal Suzuki ini, dua lagi model ‘adik- beradik’ kembar tidak seiras ini juga turut serta berkongsi pentas pengenalan. GSX R150 yang sudah tentu membawa ‘salasilah’ keturunannya iaitu GSX R 1000RR dan GSX S150 pula meneruskan legasi GSX S1000, jentera tanpa fairing atau ‘naked’ yang begitu terkenal di seantero dunia.
Untuk edisi kali ini, kita perkenalkan dulu Suzuki GSX S150. Seperti yang boleh anda lihat sendiri, hanya daripada rupa bentuk fizikal, para peminat dua roda sudah tahu kegunaan sebenar jentera ini. Penunggangan dalam bandar, jarak sederhana dan jauh adalah kekuatan versi jalananbaharu diperkenalkan pada Mac 2022.
PENAMPILAN
Mengekalkan DNA ‘abang-abang’ GSX S, rekaan tajam, tirus dan aerodinamik sudah tentu menjadi ‘pakaian’nya. Walaupun agak sedikit kelakar apabila dipadankan dengan enjin sekecil 150cc ini, penampilannya agak ‘melidi’ dan yang tambah menyukarkan ialah ketinggian daripada rupa bentuk fizikal. Terus terang, ia nampak seperti serangga mentadak mentadu yang kurus dan panjang rupa bentuknya.
Suzuki walau bagaimanapun, bijak menggunakan skim warna dan corak yang hampir sama dengan jentera lumba motogp. Ia sekali gus menambat keinginan bakal pembeli untuk meronda dengan warna pasukan lumba kesayangan mereka. Bahagian suspensi teleskopik hadapan ternyata agak nampak tinggi dan bahagian ekor yang begitu menjungkit tinggi diperhebat lagi dengan saiznya yang pendek. Keadaan ini begitu jelas menampakkan motosikal ini seperti sebuah motor Motard atau Scrambler yang dikacukkan dengan versi Street atau jalanan.
Tidak cukup dengan keseluruhan saiznya yang kurus dan melidi, kedua-dua tayar yang bersaiz 90/80-17 untuk roda hadapan dan saiz 130/70-17 untuk roda belakang, turut menambah lagi estetika jentera “kurus” ini. Walaupun kami faham, ia adalah sebuah motosikal yang hanya berkapasiti 150cc, dan menggunakan tayar-tayar yang lebih besar saiz bakal mengurangkan prestasi pecutannya, namun, kami berpendapat, selain pecutan, sesuatu motosikal perlu mempunyai keupayaan untuk memberi cengkaman yang baik atas jalan raya. Ini dapat dicapai dengan penggunaan tayar yang lebih besar permukaan yang dapat bersentuh dengan jalan raya.

PENUNGGANGAN
Suzuki GSX S150 sememangnya ditujukan kepada para penunggang yang menginginkan sebuah jentera “tunggangan” atau work horse, yang boleh digunakan pada setiap hari, untuk pergi dan balik kerja. Kebolehan untuk duduk pada kedudukan yang agak menegak dan tidak membebankan bahu dan pergelangan tangan ketika penunggangan harian. Begitu juga dengan keupayaan penunggangan di kota-kota metropolitan apabila keperluan mengendali handel dengan cepat dan ringan, di celah-celah kesesakan jalan raya.
GSX S150 sangat cemerlang dalam ujian ini. Juga turut memberi sumbangan kepada kebaikan pengendalian jentera ini ialah saiznya, yang sudah tentu memberi gambaran terhadap betapa ringannya jentera ini ketika dikendalikan pada penunggangan ditengah kota raya. Penggunaan gear yang mudah beralih sama ada daripada gear rendah atau ke gear yang lebih tinggi, juga membantu pengendalian yang baik.
Sekiranya ada di antara anda yang mungkin menyangkakan penunggangannya akan sama seperti model Suzuki yang pernah dipasarkan pada awal millennium dulu, iaitu FXR 150, maka jawapan saya akan mengatakannya tidak. FXR dahulu, walaupun tergolong dalam kategori motor jalanan atau street bike, namun FXR menggunakan karburator diafram dan GSX S menggunakan sistem pancutan bahan api melalui pengendalian Unit Kawalan Elektronik. Ternyata, prestasi enjin GSX S untuk menunggang di celah-celah kesibukan ibu kota ternyata lebih efisien dan lebih ekonomik berbanding FXR. Malah, sebagai seorang bekas pemilik FXR 150, saya dapat merasakan bahawa pengendalian GSX S dalam bandar adalah lebih ringan dan lebih menyenangkan.
Sudah tentu, penggunaan motosikal dalam tanah air kita tidak hanya tertumpu sebagai kenderaan pergi dan balik kerja sahaja. Malah, penunggangan secara santai, riadah dan sosial juga menggunakan jentera yang sama. Sekiranya anda seorang yang gemar menunggang pada jarak jauh, GSX S mampu membawa anda ke destinasi yang jauh dengan kapasiti petrol dalam tangki sebanyak 11 liter.
Namun, di sinilah saya menemui beberapa kekurangan GSX S. Oleh kerana fizikalnya yang terlalu kurus, kedudukan pelana yang agak tinggi, serta berat keseluruhan hanya sekitar 133 kilogram (kg), penunggangan pada kelajuan melebihi 120km/j ternyata sungguh mengecewakan. Ia bukan kerana prestasi enjin yang lemah dan tidak berupaya, malah enjinnya kami rasakan cukup berkuasa untuk jentera berkapasiti 150cc. Anda akan mula terasa GSX S seperti membuai-buai dari roda hadapan dan menyebabkan anda terpaksa menutup pendikit bagi mendatangkan semula perasaan kestabilan ketika menunggang.
Hampir kesemua penunggang uji memberikan maklum balas hampir sama pada kelajuan 120-130 kmj. Kami merumuskan ia datang daripada beberapa faktor. Ketinggian fork/penyerap hentakan hadapan yang tinggi, absorber/penyerap hentakan belakang yang terlalu keras, saiz tayar yang tidak cukup lebar, berat keseluruhan motosikal yang agak terlalu ringan, serta yang terakhir, kami rasakan air scoop yang berada di kiri dan kanan motosikal menyebabkan aliran angin yang semakin kuat akibat peningkatan kelajuan, tidak dapat mengalir secara aerodinamik yang sempurna.

KESIMPULAN
Penggunaan motosikal bagi masyarakat dalam bandar-bandar besar terutamanya, kini menjadi satu sinonim kehidupan. Walau ramai yang sememangnya mempunyai kereta, keperluan memiliki motosikal dianggap sebagai satu kemestian. Kemudahan untuk pengendalian dalam bandar, serta yang paling utama, penjimatan kos bahan api, caj parkir dan tol yang banyak membantu pengurusan kewangan keluarga.
Walau bagaimanapun, motosikal tidak lagi hanya menjadi kenderaan dari poin A ke poin B. Ia kini menjadi gaya hidup dan juga kenderaan bersosial. Konvoi, touring dan ronda-ronda bersama rakan sepermotoran atau penunggangan solo jarak jauh kini menjadi kegemaran ramai. Maka, Suzuki GSX S150 mampu melengkapi keperluan ini.
GSX S menjanjikan penunggang dapat mengendalikannya ketika dalam kesibukan ibu kota, dan keselesaan penunggangan pada jarak jauh.
Sekiranya GSX S sudah dimiliki, anda kini perlu ‘bereksperimentasi’ atau mendapatkan khidmat nasihat rakan-rakan yang lebih berpengalaman dalam kestabilan penunggangan GSX S dalam keadaan kelajuan yang tinggi. Penggunaan steering damper mungkin mampu memberikan penyelesaian kepada masalah ini atau setidak-tidaknya mengurangkan tindak balas bergoyang-goyang tersebut.
Apa pun, satu perkara yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun, GSX S150 sudah tentu akan ditatap dengan penuh minat dan ‘nafsu’ kerana rekaan kosmetiknya yang begitu mengujakan bagi mana-mana peminat dua roda tanah air. – UTUSAN










