E-motosikal, trak makanan mudah gerak pertama di dunia?

E-motosikal, trak makanan mudah gerak pertama di dunia?

EclimoES11 dipertingkatkan dengan menambah beg pembawa tersuai yang boleh membekalkan kuasa kepada gril atau dapur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eclimo Sdn. Bhd., syarikat baharu dalam teknologi hijau Malaysia, telah melancarkan e-motosikal trak makanan mudah gerak yang mungkin pertama di dunia.

EclimoES11 dipertingkatkan dengan menambah beg pembawa tersuai yang boleh membekalkan kuasa kepada gril atau dapur yang diletakkan di dalam beg, jelas syarikat itu.

Tambahnya, beg dapat berfungsi sebagai dapur dengan menggunakan Sistem Pengawasan Bateri Berstruktur Nano (BMS) yang membolehkan usahawan makanan mudah gerak menyediakan nasi lemak, piza atau membakar sate di mana-mana sahaja dengan peralatan yang terdapat di dalam beg pembawa.

E-kenderaan juga katanya, boleh memainkan peranan sebagai sumber kuasa untuk generator jika pemilik memilih untuk membuka gerai tepi jalan di pasar malam atau menjadi vendor makanan di acara keramaian.

“ES11 dilengkapi dengan kemudahan palam 3 pin di mana vendor boleh memasang dan mengecas pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. Malah sistem BMS juga boleh mengawasi keadaan bateri dengan menghantar peringatan apabila voltan bateri berkurangan.

“Ia turut disediakan dengan sistem penjejakan dan pemagaran geo yang boleh dikawal menggunakan aplikasi mudah alih. Para usahawan mudah gerak tidak perlu lagi risau tentang masalah kehabisan kuasa bateri. Cas penuh memberikan anda jarak perjalanan sejauh 100 kilometer (km) dan dengan setiap 100 km perjalanan, anda akan menjimatkan pelepasan karbon dioksida sehingga 7kg,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Eclimo, Datuk Dennis Chuah berkata, rakyat Malaysia suka makan dan syarikat melihat ia sebagai satu peluang untuk mengubahsuai kenderaan elektrik serta memberi peluang kepada kumpulan B40 untuk memulakan perniagaan kecil menerusi model perniagaan keusahawanan mikro mobiliti.

“Buat masa ini kami ada 25 buah unit motosikal tersuai yang kami sewakan antara RM20 hingga RM30 sehari. Kami menjangkakan bilangan ini akan bertambah kepada 100 unit menjelang akhir tahun ini. Beg pembawa boleh disesuaikan mengikut keperluan tersendiri vendor makanan,” katanya.

Tambah Dennis, inovasi itu menjadi insentif tambahan kepada rakyat Malaysia untuk menerima teknologi hijau dan menggunakannya secara bermanfaat untuk meningkatkan ekonomi mereka.

“Eclimo merancang untuk mengembangkan fleet e-motosikal tersuai meliputi vendor makanan di rantau Asia Tenggara pada tahun hadapan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN