PETALING JAYA: Duopharma Biotech Bhd. merancang untuk membangunkan produk penjagaan kesihatan berasaskan ganja, namun menunggu rangka kerja kawal selia daripada kerajaan.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa pihak untuk meneroka kemungkinan produk tersebut.
“Kami telah bekerjasama dengan beberapa syarikat dari Australia dan juga beberapa syarikat lain di seluruh rantau ini untuk melihat pilihan yang ada.
“Bagaimanapun, kami perlu menunggu sehingga peraturan kawal selia mengenainya dijelaskan oleh pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat teknologi makanan Amerika Syarikat (AS), The Live Green Co., di sini semalam.
Menurut Leonard Ariff, buat masa ini Duopharma tidak mempunyai sebarang produk berkaitan ganja dalam portfolio semasa.
“Namun kami adalah antara pembekal terbesar dadah berbahaya kepada kerajaan,” ujarnya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, kementerian tidak lama lagi akan mengumumkan rangka kerja yang membolehkan produk cannabidiol (CBD) tertentu didaftarkan menjelang tahun depan.
Bercakap pada pelancaran Laporan Pusat Pandangan Rakyat Malaysia Terhadap Isu Berkaitan Dadah, Khairy berkata produk CBD seharusnya untuk tujuan ubatan sendiri dan ditetapkan oleh profesional penjagaan kesihatan.
April lalu, Khairy mengalu-alukan mana-mana penyelidikan yang dimulakan oleh industri atau penyelidik untuk kegunaan perubatan CBD.
Pada 17 November 2021, beliau berkata permohonan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah untuk penilaian dan pendaftaran sekiranya terdapat bukti saintifik yang mencukupi untuk ia dipasarkan. – UTUSAN










