KOTA BHARU: Bermodalkan RM2,000, seorang anak muda, Murtadhatumizi Mustapha memulakan perniagaan pertukangan emas secara kecil-kecilan di bawah rumahnya di Kampung Dalam Pagar, Pasir Pekan Hilir, Tumpat pada 2016.
Bertitik-tolak dari situlah, Murtadhatumizi memanfaatkan alatan pertukangan emas peninggalan arwah ayahnya, Mustapa Hamzah, untuk menggapai impian bergelar tauke barang kemas tersohor di negeri ini.
Bintang anak muda ini dalam dunia emas semakin bersinar apabila dia berjaya ‘memindahkan’ premis pertukangan daripada bawah rumah ke sebuah kedai yang lebih selesa di bandar Kota Bharu pada 2018.
Murtadhatumizi atau lebih selesa disapa dengan panggilan Jack, tidak menoleh ke belakang, sebaliknya terus bergerak ke hadapan dengan sebuah kedai emas pertama pada 2020 dinamakan MZ Gold.
Jack berkata, disebalik serangan pandemik Covid-19 yang mula menyerang negara pada Mac 2020 lalu, terselit rezeki buat dirinya apabila perniagaan emas diusahakan terus berkembang dengan pantas.

Menurutnya, permintaan tinggi terhadap emas ketika itu membuatkan MZ Gold tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan para pelanggan yang dilihat agak ‘luar biasa’ sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, walaupun masih ‘muda’ dalam dunia perniagaan emas, MZ Gold sudah memiliki enam cawangan iaitu di Kuala Krai, Jertih dan Kuala Terengganu (Terengganu), Kuantan (Pahang), Shah Alam (Selangor) dan Bandar Perda (Pulau Pinang).
“Sejujurnya, semua kejayaan yang dikecapi ini adalah hasil kerja keras dan sokongan padu daripada ahli keluarga dan rakan-rakan sekolah dalam memacu MZ Gold sebagai sebuah kedai emas tersohor di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jack memberitahu, tanpa sokongan padu berkenaan, MZ Gold mungkin masih lagi ‘bertatih’ dalam proses membina jenama bagi mendapatkan kepercayaan pengguna dan masyarakat di negara ini.

Katanya, sehingga hari ini MZ Gold mempunyai 30 tukang emas berpengalaman dan mahir serta pasukan pereka yang mampu memenuhi setiap citarasa golongan wanita untuk membeli emas.
“Kami tawarkan perkhidmatan menjual emas baharu iaitu 916 dan emas terpakai pada harga berpatutan mengikut kemampuan pembeli.
“MZ Gold menyasarkan untuk membuka cawangan di seluruh negara termasuk melebarkan sayap perniagaan ke Sabah dan Sarawak pada 2025,” ujarnya.
Jack berkata, bagi merealisasikan impian itu MZ Gold sudah merangka pelan jangka panjang untuk memastikan ia dapat dicapai seperti yang telah ditetapkan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai MZ Gold, boleh melayari laman sosial Facebook menerusi carian MZ Gold dan aplikasi TikTok iaitu hq_mzgoldkb. – UTUSAN










