PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus dalam usaha mengawal kenaikan inflasi.
Malah, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjangkakan, MPC akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus pada mesyuaratnya September depan.
Kata beliau, kenaikan tersebut mengambil kira kenaikan kadar inflasi sebanyak 2.8 peratus pada Mei dan peningkatan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS).
“OPR dinaikkan untuk memastikan kadar inflasi tidak meningkat. Apabila OPR naik, kos pinjaman meningkat dan perbelanjaan oleh individu dan perniagaan akan berkurangan kerana mereka akan lebih cenderung untuk menyimpan. Ini akan menyebabkan permintaan kurang dari penawaran sekaligus mengurangkan kadar inflasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmed Razman berpendapat, walaupun OPR akan dinaikkan ke kadar yang lebih tinggi, ia lebih rendah dari kadar sebelum pandemik iaitu sekitar 3 hingga 3.25 peratus.
Oleh itu, kata beliau, ia masih tidak begitu membebankan peminjam terutamanya golongan B40.
“Namun, pihak bank terutamanya perbankan Islam harus mengambil inisiatif di bawah konsep Maqasid Syariah untuk tidak menaikkan kadar keuntungan yang dikenakan kepada pelanggan mereka, walaupun OPR akan dinaikkan.
“Ini untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa perbankan Islam bukan ditubuhkan untuk mendapatkan keuntungan yang setinggi mungkin, tetapi sebagai alternatif pembiayaan kepada umat Islam yang tidak akan membebankan mereka terutamanya dalam suasana ekonomi tidak menentu ini.
“Lebih baik lagi jika perbankan Islam dapat menghapuskan bahagian keuntungan untuk pembiayaan pelanggan B40 mereka supaya mereka tidak menjadi resah apabila OPR dinaikkan,” katanya.
Ditanya kesan kenaikan OPR, beliau berkata: “Akan beri kesan tetapi tidak begitu ketara kerana kadar OPR masih rendah dan pengurangan perbelanjaan tidak terlalu drastik.”
Ditanya prestasi Bursa Malaysia turun naik kemungkinan pelabur menjangkakan kenaikan OPR, Ahmed Razman berpendapat, prestasi bursa ada kemungkinan terkesan sedikit dengan jangkaan kenaikan OPR.
Pada 11 Mei lalu, MPC telah memutuskan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.
Sepanjang krisis Covid-19, OPR dikurangkan sebanyak 125 mata asas secara kumulatif kepada paras terendah yang belum pernah dicatatkan sebelum ini iaitu 1.75 peratus, bagi memberikan sokongan terhadap ekonomi. – UTUSAN










