ASNB lancar program Singgah Labur

ASNB lancar program Singgah Labur

AHMAD Zulqarnain Onn melancarkan program Singgah Labur ASNB di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan program Singgah Labur di 158 lokasi seluruh negara.

Program bertemu pelabur dan memberikan khidmat perancangan pelaburan itu akan bermula di Perak pada 13 Julai ini dan berakhir di Selangor, 30 September 2022.

Menurut ASNB, sepanjang program, pelbagai kemudahan disediakan untuk pelabur di mana mereka boleh membuat pelbagai urus niaga ASNB seperti pendaftaran akaun unit amanah dan membuat pelaburan tambahan menerusi kiosk serta mendapatkan khidmat nasihat perancangan pelaburan daripada pegawai ASNB yang bertauliah.

Katanya, program berkenaan telah dilancarkan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin di ibu pejabat PNB di Kuala Lumpur.

Mohammad Hussin berkata, program Singgah Labur memberi peluang kepada ASNB mendekati pelabur-pelaburnya setelah lebih dua tahun aktiviti on-ground terhenti lebih dua tahun berikutan pandemik Covid-19.

“Dengan adanya skuad Singgah Labur, orang ramai boleh mengambil peluang untuk bertemu dengan pasukan ASNB bagi mendapatkan khidmat nasihat pelaburan terutamanya berkaitan aplikasi mudah alih myASNB dan maklumat tentang perancangan pelaburan secara terus daripada pegawai kami,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, melalui program itu, ASNB dapat memberi sokongan kepada ejen pelaburannya dengan menyediakan fasiliti tambahan bagi mereka yang ingin mendaftar akaun baharu atau mendapatkan penerangan berkaitan perancangan pewarisan seperti Hibah Amanah dan Wakaf ASNB.

Selain itu, ASNB turut menganjurkan program bual bicara iaitu Bicara Wakaf di masjid terpilih di 11 negeri untuk menyampaikan perkongsian ilmu berkaitan wakaf dan perancangan pewarisan dengan menampilkan penceramah-penceramah terkenal antaranya, Datuk Nooh Gadot, Datuk Badli Shah Alauddin dan Ustaz Md Ghazali Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN