
Antara sumbangan penting Sayyidina Umar Al-Khattab R.A. kepada pembangunan tamadun Islam ialah mewujudkan sistem takwim atau kalendar Hijrah. Kalendar tersebut yang meraikan peristiwa penghijrahan baginda Nabi Muhammad S.A.W dari Makkah ke Madinah telah memudahkan dan menambah baik urusan masyarakat muslimin, dari segi amalan harian, urusan pentadbiran dan urusniaga muamalah. Walaupun sistem ini tidak wujud semasa hayat baginda Rasulullah S.A.W, ianya telah dilaksanakan demi mengikut keperluan semasa ketika itu.
Antara iktibar yang boleh diambil daripada ilham pewujudan takwim Hijrah ini adalah perlunya usaha penambahbaikan yang berterusan terutamanya yang mendatangkan faedah dan manfaat kepada masyarakat umum, khususnya kepada masyarakat muslimin. Sebagai contoh, seperti yang umum sedia maklum, Malaysia adalah di antara negara yang mempunyai pengurusan haji yang terbaik di dunia. Ianya dapat dilaksanakan dengan penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 1969.
TH diwujudkan melalui cetusan ilham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, melalui kertas kerja ‘Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-Bakal Haji’ yang ditulis beliau pada 1959. Hasrat utama Ungku Aziz adalah bagi membantu bakal-bakal haji, terutamanya yang berpendapatan rendah, untuk menabung bagi perancangan menunaikan rukun Islam kelima. Melalui TH, matlamat ini telah dicapai, malah mendatangkan pelbagai manfaat lain seperti peluang pekerjaan, kewujudan kepimpinan yang berwibawa serta membina kekuatan ekonomi Islam melalui pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan yang diterokai oleh TH.
Penubuhan TH ini telah menjadi pemangkin kepada agenda pembangunan negara terutama pembangunan industri kewangan Islam, melalui penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam). Menyentuh tentang industri kewangan Islam, selain peranan yang telah dilaksanakan oleh TH, pembangunan industri ini juga telah dipelopori oleh pemimpin-pemimpin yang berwawasan terutamanya mereka yang menganggotai ‘Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank Islam’, dipengerusikan oleh Tun Raja Mohar.
LANDASAN YANG KUKUH
Hasil usaha ahli-ahli jawatankuasa tersebut telah berjaya menyediakan landasan yang kukuh bagi penubuhan Bank Islam pada 1983 dan menjadikan Malaysia di antara negara yang mempunyai sistem kewangan Islam paling lengkap dan moden di dunia.
Semasa majlis pelancaran operasi Bank Islam pada 1 Julai 1983, Tun Dr. Mahathir Mohamad, selaku Perdana Menteri ketika itu, di dalam ucapannya menyatakan antara lain, “Cara-cara yang kita guna adalah alternatif kita mengikut zaman yang sudah berubah ini. Begitu juga dengan Bank Islam yang kita tubuhkan ini.
Ia masih menepati kehendak agama Islam di samping mengambilkira sistem kewangan dan kegiatan ekonomi yang sudah berubah. Jika kita tidak mempunyai jawapan terhadap soalan dan masalah dunia moden, jika kita semata-mata berkata ini dilarang dan itu dilarang maka lambat laun akan hilanglah kepercayaan kepada agama Islam, terutama kepercayaan bahawa agama Islam adalah untuk semua zaman dan bukan untuk zaman Nabi sahaja.”
Menjelang 2023, akan genap 40 tahun sejak Malaysia mula membangunkan industri kewangan Islam termasuk industri takaful. Kini Malaysia bukan sahaja mempunyai puluhan institusi perbankan Islam dan pengendali takaful, malahan terdapat institusi bukan bank seperti koperasi yang juga berupaya menawarkan perkhidmatan dan produk kewangan patuh Syariah kepada lebih ramai pengguna.
Institusi pengajian yang menawarkan kursus kewangan Islam juga telah bertambah. Secara langsung ini membantu meningkatkan jumlah golongan profesional yang mempunyai pengetahuan berkaitan operasi kewangan serta pemahaman terhadap prinsip dan pelaksanaan Syariah.
Oleh yang demikian, usaha memajukan dan menambah baik sesuatu yang mempunyai kepentingan umum secara berterusan termasuk pembangunan kewangan Islam adalah satu kewajipan dan amanah bagi pemegang taruh sedia ada terutamanya pada peringkat kepimpinan institusi. Pastinya, ia tidak memadai sekadar melepas batuk di tangga. Selamat menyambut Tahun Baharu Hijrah 1444.
PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN









