PETALING JAYA: Sebanyak 106,000 siswazah bekerja dalam kategori berkemahiran rendah pada tahun lalu, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, bilangan siswazah yang bekerja dalam kategori mahir juga merekodkan penurunan sebanyak 1.2 peratus atau 35,800 orang, susulan pengurangan dalam kategori pengurus.
Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 2.96 juta siswazah atau 64.8 peratus, bekerja dalam kategori mahir daripada 4.57 juta orang siswazah yang bekerja.
“Sebanyak 32.9 peratus lagi siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir yang mana sebahagian besarnya adalah pekerja sokongan perkeranian (14.4 peratus), diikuti perkhidmatan & jualan (10.8 peratus) dan kemahiran dan pekerja pertukangan yang berkaitan (4.2 peratus). Siswazah bekerja dalam kategori ini meningkat 19.4 peratus (243,900 orang),” katanya dalam kenyataan.
Secara umum, pada tahun lalu, kadar pengangguran siswazah berkurangan kepada 4.1 peratus manakala sebanyak 33.9 peratus siswazah dalam guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.
Mohd. Uzir berkata, bilangan siswazah di Malaysia seramai 5.61 juta pada tahun lalu, merangkumi 22.1 peratus daripada penduduk dalam umur bekerja 15 tahun dan ke atas.
Katanya, siswazah merujuk kepada individu yang memiliki sijil tertinggi yang diperoleh daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun. Siswazah lulusan ijazah meliputi 53.6 peratus atau 3 juta orang, manakala lulusan diploma 46.4 peratus (2.60 juta orang).
“Daripada keseluruhan siswazah pada tahun tersebut, sebanyak 4.77 juta berada dalam tenaga buruh, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh siswazah (KPTBS) sebanyak 85 peratus. Perbandingan tahun ke tahun, bilangan tenaga buruh naik 4.6 peratus berikutan peningkatan dalam siswazah bekerja manakala bilangan siswazah menganggur menurun,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, bilangan siswazah dalam guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran naik 14.4 peratus (194,700 orang) pada 2021 kepada 1.55 juta orang (2020: 1.36 juta orang) berikutan golongan itu bekerja dalam jawatan yang tidak sepadan dengan kelayakan dan kemahiran mereka.
Sehubungan itu, katanya, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan siswazah melonjak 2.7 mata peratus kepada 33.9 peratus selepas mencatatkan peningkatan 4.4 mata peratus pada 2020 kepada 31.2 peratus.
Mengikut aktiviti ekonomi, majoriti siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan (77.4 peratus), diikuti pembuatan (13.7 peratus), pembinaan (6 peratus), pertanian (2.1 peratus) dan perlombongan & pengkuarian (0.8 peratus).
Mengenai gaji dan upah yang diterima oleh siswazah, Mohd. Uzir Mahidin berkata, gaji dan upah lebih tinggi direkodkan bagi siswazah pada 2021 berbanding tahun sebelumnya, yang mana purata gaji dan upah bulanan meningkat 2.1 peratus kepada RM4,582 (2020: RM4,489).
Mengikut tahap kemahiran, gaji dan upah yang diterima oleh siswazah untuk ketiga-tiga kategori merekodkan pemulihan daripada kejatuhan pada 2020, namun masih di bawah nilai sebelum pandemik.
“Siswazah dalam kategori pekerjaan mahir mengalami peningkatan purata gaji dan upah bulanan sebanyak 2.8 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan mencatatkan RM5,465 (2020: RM5,316).
“Sementara itu, purata bagi kategori separuh mahir naik 2.9 peratus kepada RM2,488 (2020: RM2,418), manakala kategori berkemahiran rendah menyaksikan kenaikan 4.0 peratus kepada RM2,017 (2020: RM1,940),” katanya. – UTUSAN









