Twitter kembangkan notifikasi carian kebebasan bersuara di Asia Tenggara

Twitter kembangkan notifikasi carian kebebasan bersuara di Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Twitter mengumumkan pengembangan servis pemberitahuan #ThereIsHelp dan notifikasi Carian Kebebasan Bersuara di Malaysia, Indonesia, dan Filipina.

Pengembangan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk melindungi serta memperjuangkan #OpenInternet secara global, jelas syarikat platform media sosial itu dalam kenyataan.

Jelasnya, notifikasi carian itu juga adalah yang pertama bagi negara-negara tersebut, dan menandakan ulang tahun pelancaran di Thailand pada tahun lepas.

“Dalam pada itu, Twitter bekerjasama dengan organisasi sivik tempatan (@CIJ_Malaysia, @lawyers4liberty, @SUHAKAM) dan servis pemberitahuan akan muncul apabila pengguna mencari kata kunci yang berkaitan dengan kebebasan bersuara di Twitter.

“Notifikasi ini adalah untuk membantu menghubungkan pengguna yang memerlukan sokongan pihak berkuasa dalam mempraktikan hak kebebasan bersuara dan hak digital,” katanya.

Ketua Polisi Awam dan Filantrofi Asia Tenggara Twitter, Monrawee Ampolpittayanant berkata, misi kumpulannya di Twitter adalah untuk memberi perkhidmatan kepada perbualan awam.

“Kami percaya bahawa kebebasan bersuara dan akses percuma kepada #OpenInternet adalah sebahagian daripada hak asasi manusia.

“Tekanan yang mendorong peraturan internet di Asia Tenggara menunjukkan pelbagai cabaran dan implikasi, terutamanya bagi kumpulan yang terjejas.

“Inisiatif untuk memperluaskan lagi notifikasi carian #ThereIsHelp adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk membantu mereka yang tertindas di Indonesia, Malaysia, dan Filipina. Kerjasama kami dengan rakan kongsi tempatan akan memastikan maklumat penting dapat diakses dengan mudah dan tepat pada waktunya bagi mereka yang memerlukan bantuan,” kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Centre for independent Journalism (CIJ) Malaysia, Wathshiah Naidu berkata, dalam mengharungi dinamik politik yang bersilih ganti dan pandemik di Malaysia, pihaknya teruskan usaha memerangi percubaan mana-mana pihak sama ada di dalam mahupun di luar negara yang mengancam dan mengehadkan hak kebebasan bersuara serta hak awam untuk mendapatkan maklumat.

“Peningkatan gangguan dalam dan luar talian, dan percubaan untuk menutup mulut mereka yang bersuara menunjukkan bahawa kita harus mengambil tindakan terhadap ketidakadilan ini. Inisiatif #ThereIsHelp oleh Twitter adalah tepat pada masanya dan kami berharap kerjasama ini membolehkan kami mendekati serta menyokong lebih banyak komuniti dan individu yang memerlukan maklumat dan bantuan,” katanya.

Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malik pula berkata, kebebasan bersuara adalah asas sesebuah negara demokrasi dan walaupun ia adalah sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan, pertuduhan jenayah turut dijatuhkan ke atas individu yang hanya menggunakan hak mereka untuk bersuara.

“Hari ini, undang-undang seperti Akta Hasutan dan seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia sering disalahgunakan untuk menghindarkan rakyat daripada menyuarakan hasrat mereka.

“Sebagai sebuah organisasi yang berusaha untuk melindungi dan memperjuang hak asasi manusia dan kebebasan sivil, kerjasama kami bersama Twitter adalah amat penting dan usaha ini dapat membantu orang ramai mendapatkan akses kepada maklumat mengenai hak mereka sekiranya mereka menghadapi gangguan daripada pihak berkuasa. Mereka akan sedar bahawa mereka tidak bersendirian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN