Tempahan kereta dijangka melonjak

Tempahan kereta dijangka melonjak

Proton Saga antara model terlaris di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah tempahan kereta penumpang dijangka melonjak susulan pengumuman kerajaan tidak akan melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pembelian kereta baharu selepas ia berakhir pada 30 Jun ini.

Justeru, RHB Research menaikkan jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 615,000 daripada 580,000, kerana beberapa jualan 2023 akan dibawa ke separuh kedua 2022.

“Dasar baharu itu ialah kompromi yang baik antara memenuhi permintaan pelanggan dan menyokong hasil cukai kerajaan. Kami menekankan pengumuman itu adalah isyarat jelas kepada pasaran bahawa tidak akan ada lagi pengecualian SST untuk jualan kereta dalam masa terdekat.

“Kami percaya pelanggan akan tergesa-gesa membuat pesanan dalam tempoh sembilan hari akan datang, kerana ini adalah peluang terakhir mereka untuk memanfaatkan pengecualian SST,” kata firma itu dalam nota kajian.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

Tengku Zafrul berkata, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan itu adalah satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

Sementara itu, MIDF Research berkata, keputusan yang diumumkan kerajaan memberikan penyelesaian menang-menang kerana ia menyediakan ruang untuk menampung tempahan tertunggak berikutan masalah kekurangan komponen, sekali gus mengurangkan risiko pembatalan pesanan.

“Namun, memandangkan membuat tempahan tertunggak yang masih layak untuk pengecualian cukai, kami menjangkakan kutipan cukai jualan kenderaan yang minimum oleh kerajaan untuk baki 2022.

“Selain itu, kenaikan kos bahan dan prestasi ringgit yang melemah menimbulkan potensi risiko kepada pendapatan sektor. Pemain industri menunjukkan kemungkinan memindahkan kos ini melalui kenaikan harga.

“Kami menjangkakan kereta import berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk dikenakan kos tambahan berbanding kereta nasional memandangkan jenama tempatan lebih sensitif harga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN