Saya perlu mematuhi perubahan status - Rafidah

Saya perlu mematuhi perubahan status – Rafidah

Gambar fail, Rafidah Aziz bersama Tony Fernandes (dua dari kanan) dan kakitangan AirAsia selepas majlis Anugerah Skytrax Penerbangan Dunia di Pameran Udara Antarabangsa Farnborough 2016 di London.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya bakal berusia 79 tahun pada tahun ini dan telah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas mengikut penggal yang telah ditetapkan.

“Saya perlu mematuhi perubahan status daripada seorang ahli Lembaga Pengarah Bebas kepada Bukan Bebas termasuk memenuhi keperluan yang lain untuk jawatan tersebut. Oleh itu, saya memutuskan untuk meletakkan jawatan saya sebagai Pengerusi AAX berkuat kuasa mulai 1 Julai.”

Itu kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz berhubung peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh, AirAsia X (AAX) berkuat kuasa 1 Julai ini.

Menurut bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, sudah tiba masanya untuk AAX melantik ahli lembaga pengarah baharu untuk memacu syarikat ke hadapan terutama selepas proses penstrukturan semula.

“Ini merupakan pengalaman yang sangat bermakna dan saya berbesar hati kerana dapat mengenali semua Allstars yang saya hargai.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Tony (Tony Fernandes) dan Datuk Kamarudin (Kamarudin Meranun) kerana menjemput saya secara peribadi untuk menjadi Pengerusi AAX sebelum syarikat ini disenaraikan.

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada barisan Ahli Lembaga Pengarah, dulu dan kini, serta semua ahli yang terlibat, di atas segala kerjasama, sokongan dan bimbingan mereka. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada seluruh keluarga AAX,” kata beliau.

AirAsia X dalam kenyataan sama mengesahkan peletakan jawatan Rafidah sebagai Pengerusi syarikat itu berkuat kuasa 1 Julai 2022.

Sementara itu, Tony yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Pengasas AAX berkata, Rafidah telah menjalankan peranan beliau lebih daripada seorang pengerusi.

Sebagai seorang yang berpengalaman dalam pelbagai bidang, kata beliau, Rafidah adalah tulang belakangnya dari awal hingga pengembangan AirAsia.

“Dan yang penting, beliau juga merupakan seorang sahabat dan mentor dalam kehidupan peribadi saya. Beliau sentiasa memberikan semangat dan berkongsi pendapatnya secara jujur. Walaupun kini telah bersara, beliau akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga besar AirAsia dan kepimpinan beliau akan terus menjadi inspirasi buat kami semua. Kami pasti akan terus meminta pandangan dan bimbingan beliau untuk meneruskan perjalanan kami ke peringkat seterusnya,” katanya.

Rafidah memegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Ekonomi dan Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama dari Universiti Malaya (UM). Antara anugerah dan pencapaian beliau termasuklah sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia paling lama berkhidmat, selama 21 tahun, dari 1987 hingga 2008.

Dalam pada itu, Kamarudin yang juga Pengerusi Eksekutif Capital A dan Pengasas AAX, merakamkan penghargaan di atas sokongan dan dorongan Rafidah selama ini.

“Sebagai seorang perintis dalam memperjuangkan kesaksamaan, hak wanita dan kebajikan untuk negara-negara membangun, beliau merupakan lambang jenama AirAsia di mana kami terus memberikan yang terbaik tanpa mengira latar belakang. Walaupun kami berduka di atas persaraan beliau, kami memahami serta menghormati keputusan beliau untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Kami sentiasa bersyukur di atas sumbangan beliau dan mendoakan yang terbaik untuk beliau pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN