PETALING JAYA: Ranhill Utilities Berhad mengumumkan subsidiary milik penuhnya, Ranhill Water Technologies Sdn. Bhd. (RWT), telah menerima kontrak pemasangan serta ujian dan komisen menaik taraf Loji Rawatan Efluen Perindustrian (IETS) daripada MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd. yang terletak di Tanjung Langsat, Johor, bernilai RM6.1 juta.
RWT menerima Surat Anugerah (LOA) daripada MSM pada 8 Jun lalu. Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 12 bulan bermula 1 Jun lalu, termasuk kebenaran merancang dan penyerahan dan kelulusan pelan bangunan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
Projek itu akan melibatkan RWT yang menyediakan kerja-kerja sivil dan struktur (C&S), mekanikal, elektrikal dan instrumentasi (E&I), serta ujian dan komisen, yang termasuk jaminan 18 bulan dari tarikh pengambilalihan kilang terbabit.
Kerja-kerja menaik taraf utama loji itu akan melibatkan tangka penampan, sistem peresap cakera membrane, sistem penyahairan, sistem cuci belakang untuk penapis dan sistem saliran.
Presiden dan Ketua Eksekutif Ranhill, Tan Sri Hamdan Mohamad berkata, pihaknya telah dianugerahkan kontrak itu menerusi pelaksanaan tender kompetitif yang dijalankan oleh MSM.
“Projek tersebut berfungsi sebagai bukti keupayaan dan rekod prestasi kami dalam industri air sisa industri.
“Kontrak itu adalah sebahagian daripada cara RTW bergerak secara progresif untuk menjadi peneraju serantau dalam rawatan air dan air sisa yang mengintegrasikan dan mengoptimumkan penyelesaian teknologi inovatif.
“Kami akan terus memanfaatkan kepakaran teras kami untuk mendapatkan projek baharu dan kami percaya projek ini akan meningkatkan lagi kehadiran RWT dan mengukuhkan kelayakan Ranhill sebagai pakar rawatan air dan air sisa industri holistic yang merangkumi rawatan efluen industri,” katanya dalam kenyataan.
Ranhill menyediakan bekalan air di Johor dan mengendalikan air, air sisa, dan loji rawatan air tebus guna di dalam dan di luar negara.
Ranhill juga terlibat terutamanya dalam mengendalikan dan menyelenggara dua loji kuasa CCGT yang terletak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, membekalkan tenaga yang bersamaan dengan kira-kira 40 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang Penjana Tenaga Bebas (IPP) di Sabah. – UTUSAN