PETALING JAYA: Penggabungan antara dua gergasi telekomunikasi, Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) dan Celcom Axiata Bhd. (Celcom) dijangka menelan kos yang tinggi berbanding faedah yang bakal diterima menerusi langkah tersebut.
Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, berdasarkan sejarah penggabungan korporat terdahulu, kebiasaannya ia tidak akan menghasilkan faedah berganda atau keuntungan jangka panjang sekiranya mengambil kira kos langsung dan tidak langsung.
Ujarnya, ini kerana setelah beberapa tahun, kos keseluruhan sekiranya diambil kira kos tersembunyi sebenarnya melebihi keuntungan yang diperolehi.
“Selain itu, cabaran penggabungan seperti menggabungkan budaya korporat dan pasaran bukan sesuatu yang mudah dan akhirnya sinergi yang diharapkan daripada penggabungan tidak terhasil.
“Namun, mungkin matlamat Celcom-Digi memerlukan kapasiti yang besar dan penggabungan ini bakal beri kelebihan dari segi modal dan keupayaan, menjadikannya sesuatu yang perlu sebagai strategi jangka panjang.
“Mungkin harapan penggabungan adalah untuk memperhebat teknologi 5G dan menguasai pasaran, namun kedua-dua syarikat bukannya syarikat kecil yang memerlukan sinergi penggabungan untuk menguasai pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd. yang memiliki 10.32 juta pelanggan dan Celcom Axiata Bhd. yang memiliki 9.60 juta pelanggan, sekali gus menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.
Mengulas mengenai impak kepada pengguna, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kedua-dua syarikat ini berposisi di segmen yang berlainan dalam pasaran, iaitu Celcom di segmen premium manakala Digi di segmen ekonomi.
Justeru katanya, gabungan kedua-duanya akan dapat memberikan tawaran-tawaran yang lebih berfaedah kepada pengguna iaitu hampir 40 peratus daripada jumlah pasaran.
“Dengan menggunakan infrastruktur yang sama, gabungan kedua-dua syarikat ini dapat menurunkan kos keseluruhan secara purata, maka penurunan kos ini ditaksirkan sebagai senjata utama untuk menurunkan tawaran yang ada sekarang dan menjadi lebih rendah daripada pesaing.
“Berdasarkan kepada pasaran tempatan sekarang, gabungan Celcom-Digi hanya merangkumi sekitar 40 peratus dari keseluruhan pasaran telekomunikasi. Pesaing lain seperti Maxis, TM, Time dan U-Mobile masih menguasi bakinya, justeru tiada isu gabungan ini membentuk ologopoli dan jauh sekali duopoli.
“Persaingan di industri cukup sengit pada waktu ini dan dijangka akan terus bersaing secara sehat, malah lebih menguntungkan pengguna terutamanya bila negara beralih ke teknologi 5G,” ujarnya. – UTUSAN










