MPOB, EF perkasa pekebun kecil persendirian sawit

MPOB, EF perkasa pekebun kecil persendirian sawit

AHMAD Parveez Ghulam Kadir (kiri) dan Ketua Operasi Earthworm Foundation Malaysia, Quek Karl Yen bertukar dokumen perjanjian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Earthworm Foundation Malaysia (EF) memeterai memorandum perjanjian bagi memperkasakan pekebun kecil persendirian dalam Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC).

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB mempunyai kepakaran dalam membantu memperkasakan pekebun kecil melalui insentif integrasi tanaman dan insentif integrasi ternakan dengan sawit, penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) dan khidmat nasihat sawit secara percuma.

Beliau berkata, EF yang sebelum ini dikenali sebagai The Forest Trust, telah pun aktif di lapangan sejak 20 tahun lalu merentasi lima benua dalam membantu pihak kilang dan ladang mengeluarkan produk sawit mesra alam serta meningkatkan taraf hidup pekebun.

Katanya, sejak 2010, EF mula aktif di Malaysia dengan menyokong aktiviti kilang penapis, kilang sawit, ladang dan pekebun kecil sawit dalam usaha memperkasakan amalan mampan bagi memenuhi permintaan pasaran minyak sawit.

“Pemeteraian memorandum perjanjian pada hari ini merupakan antara usaha MPOB untuk melahirkan pekebun kecil berwawasan dan mempunyai daya saing yang tinggi. Memorandum perjanjian ini akan menjadi titik permulaan kepada kerjasama penting antara MPOB dan EF,” katanya di majlis pemeteraian perjanjian itu di Kinabatangan, Sabah.

Ahmad Parveez berkata, pemeteraian perjanjian tersebut adalah antara usaha MPOB bagi meningkatkan kesedaran dan mengembangkan daya saing pekebun kecil serta meningkatkan keupayaan mereka menghasilkan minyak sawit lestari memandangkan pekebun kecil menyumbang 28 peratus daripada pengeluaran minyak sawit negara.

Katanya, usaha sama antara MPOB dan EF akan menyediakan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak yang sekali gus akan menyumbang kepada kemajuan industri sawit negara.

“Skop kerjasama turut memberi impak yang positif kepada kedua-dua pihak dan seterusnya memanfaatkan industri sawit dan pelbagai sektor lain,” katanya.

Sehingga 30 April 2022, MPOB telah membantu mempersijilkan seramai 167,549 pekebun kecil persendirian seluruh negara, manakala bagi Sabah pula seramai 25,691 pekebun kecil telah dipersijilkan dengan MSPO.

Di Kinabatangan, terdapat tiga SPOC (SPOC S19, S20 dan S21) merangkumi kawasan Bukit Garam, Batu Puteh dan Sukau. Seramai 2,589 pekebun kecil dengan keluasan 15,993.6 hektar telah dipersijilkan MSPO di daerah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN