MNRB catat pertumbuhan keuntungan 15.4 peratus

MNRB catat pertumbuhan keuntungan 15.4 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi MNRB Holdings Berhad (MNRB) kekal kukuh pada tahun kewangan 2022 apabila mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15.4 peratus dalam Premium Kasar dan Sumbangan Takaful kepada RM3 bilion berbanding RM2.6 bilion yang direkodkan tahun lalu.

Pendapatan pelaburan bersih bagi 2022 adalah lebih rendah berbanding tahun lalu yang menyebabkan pengurangan dalam keuntungan bersih kumpulan sebanyak 39.6 peratus kepada RM114.4 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Zaharudin Daud berkata, tahun kewangan 2022 telah memberi beberapa cabaran kepada persekitaran operasi dan pasaran domestik tidak terkecuali daripada mengalami impak secara langsung dan tidak langsung
daripada pandemik global.

Jelasnya, sepanjang separuh pertama tahun kewangan, pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan untuk menangani peningkatan semula kes Covid-19 dan variannya.

“Dalam meneruskan operasi pada tahun ini seiring dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara, kita telah dilanda kejadian banjir besar pada Disember 2021 dan sebagai sebuah organisasi reinsurans dan takaful yang bertanggungjawab, entiti-entiti kami segera bertindak dalam mengharungi cabaran akibat bencana tersebut.

“Kumpulan MNRB telah menunjukkan daya tahan yang tinggi dalam mengharungi cabaran dan mencatatkan prestasi yang emberangsangkan pada tahun kewangan 2022,” katanya dalam kenyataan.

Anak syarikat reinsurans kumpulan, Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 21.4 peratus dalam Premium Kasar dan Sumbangan Kasar kepada RM1.7 bilion berbanding RM1.4 bilion yang dicatatkan tahun lalu, didorong pertumbuhan kukuh segmen perniagaan luar negara dan peningkatan kontrak tempatan.

Pada 2022, Malaysian Re terjejas dengan beberapa kerugian besar termasuk peristiwa banjir domestik pada Disember 2021 telah menyumbang kepada prestasi pengunderaitan yang lebih rendah bagi syarikat.

Selain daripada prestasi pengunderaitan, keputusan kewangan syarikat juga dipengaruhi oleh pendapatan pelaburan bersih yang lebih rendah berikutan persekitaran pelaburan yang mencabar, membawa kepada pengurangan untung bersih sebanyak 52.8 peratus kepada RM62.8 juta daripada RM133.1 juta tahun lalu.

Sementara itu, Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS Family), perniagaan takaful keluarga kumpulan, menyaksikan peningkatan sebanyak 3.8 peratus dalam Sumbangan Kasarnya kepada RM713.8 juta daripada RM687.5 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Tahun kewangan dirujuk turut menyaksikan Takaful IKHLAS Family mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 57.9 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM30.8 juta daripada RM19.5 juta tahun lalu.

Mengulas mengenai rancangan kumpulan bagi tahun kewangan baharu, Zaharudin berkata, kumpulan akan meneruskan usahanya dalam membina ketahanan perniagaan dengan memanfaatkan lagi pendigitalan, antaranya ekosistem digital GO by Takaful IKHLAS.

“Kami juga memperluaskan tumpuan pelanggan dengan inisiatif yang telah diukur untuk memastikan kecemerlangan perkhidmatan yang berterusan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN