PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd. (Malaysia Airports) yakin trajektori pertumbuhannya berada di landasan yang tepat dengan memberi tumpuan pada usaha untuk mengekalkan keuntungan selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Pengarah Urusannya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, ini akan dicapai melalui tiga tonggak utama iaitu membawa pulang penumpang antarabangsa, meremajakan perniagaan komersial dan runcit serta mempercepatkan pembangunan luar terminal.
Ujarnya, Malaysia Airports memfokuskan pada membina semula rangkaian dan berhasrat untuk mengukuhkan laluan dan pembangunan pasarannya sambil meningkatkan penglibatan dengan syarikat penerbangan.
“Kumpulan juga mengembangkan portfolio bukan aeronautik untuk memacu hasil sejajar dengan penyambungan semula aktiviti komersial di lapangan terbang.
“Penumpang boleh menantikan tawaran runcit baharu yang terdiri daripada 70 jenama terkenal seperti Hard Rock, Jamie Oliver, Taco Bell dan Sense of Malaysia.
“Di bawah inisiatif Tetapan Semula Komersial, kumpulan dapat membuka ruang komersial baharu seluas 14,355 meter persegi, sambil mengembangkan keupayaan saluran omni,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-23, semalam.

Menurut beliau, bagi membantu memacu Malaysia Airports ke hadapan termasuk peluang luar terminal, kumpulan akan terus mengutamakan pengembangan KLIA Aeropolis melalui tiga kluster teras iaitu aeroangkasa dan penerbangan, kargo dan logistik serta mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
“Selain itu, Lapangan Terbang Subang (SZB) memberi tumpuan kepada aeroangkasa, penerbangan perniagaan dan ekosistem komuniti bandar.
“Beberapa perkembangan utama jangka pendek termasuk Gerbang Kargo Udara DHL Express dan Pusat Kecemerlangan MRO Asia Digital Engineering di KLIA serta kemudahan MRO komponen terkini Collins Aerospace akan dibuka di Subang,” ujarnya.
Terdahulu, kumpulan mengumumkan kerugian bersih kumpulan bagi suku pertama 2022 mengecil kepada RM104.76 juta berbanding kerugian RM221.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil meningkat kepada RM570.85 juta daripada RM336.91 juta dalam suku sama 2021.
Mengulas mengenai prestasi suku pertama, Iskandar Mizal berkata, Malaysia Airports berada di landasan betul dan menunjukkan daya tahan yang kukuh.
“Jumlah penumpang kami juga berada pada trajektori menaik. Kami juga telah menurunkan kos teras kami dengan ketara.
“Namun, selepas dua tahun dalam persekitaran yang sukar, tahun ini kami bersedia untuk membawa kumpulan keluar dari wilayah negatif,” katanya. – UTUSAN










