Kedai Emas Arifin labur RM6 juta

Kedai Emas Arifin labur RM6 juta

RANI ISMAIL (depan) memotong belon ketika merasmikan pembukaan Wisma Ariffin di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kedai Emas Ariffin melangkah maju dalam perniagaan emas apabila membuka sebuah wisma enam tingkat terletak di pusat bandar raya ini, membabitkan pelaburan hampir RM6 juta.

Wisma itu merupakan simbolik kemegahan dan kekuatan utama Kedai Emas Ariffin yang telah bertapak dalam industri selama 40 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusannya, Rani Ismail berkata, kejayaan yang dicapainya ketika ini bermula daripada usaha yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

“Saya bermula dengan jual emas dan ambil komisen di Felda Keratong di Rompin, 12 tahun saya kumpul dan selepas itu saya buka kedai emas pertama di Keratong pada 1998.

“Saya guna nama Kedai Emas Ariffin kerana sewaktu di Keratong, orang kampung kenal saya dengan nama Ariffin.

“Selepas itu, saya mengembangkan perniagaan kedai emas ini dengan membuka cawangan di Segamat, Johor, Dungun dan Kemaman di Terengganu dan selepas itu di Kuantan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian dan pembukaan Wisma Ariffin di sini.

Yang hadir sama, Pengarah Eksekutif Kedai Emas Ariffin, Azizah Sulaiman.

Rani berkata, perniagaan bermula secara kecil-kecilan pada 1981 dengan kaedah jualan dari rumah ke rumah, kini Kedai Emas Ariffin berdiri kukuh dan melebarkan sayapnya dengan memiliki lapan buah cawangan di Pantai Timur.

Beliau berkata, lima cawangan di negeri ini manakala tiga lagi di Terengganu.

“Kedai Emas Ariffin adalah syarikat bumiputera dan menjalankan perniagaan jual beli emas, membeli emas borong, membaiki emas rosak, menerima tempahan emas, menjalankan pemprosesan emas jongkong, membeli surat pajak dan lain-lain.

“Syarikat berpegang teguh dengan slogan utama iaitu “Part of Your Happiness” seiring dengan piagam pelanggan syarikat yang mementingkan dan mengutamakan kepuasan pelanggan dalam berbelanja emas sejajar dengan syarikat pernah dianugerahkan “Harga Patut” pada 2008, 2009 dan 2011,” katanya.

Beliau berkata, selain membeli di cawangan, Kedai Emas Ariffin juga menyediakan platform pembelian emas secara dalam talian.

“Terdapat pelbagai koleksi emas dan reka bentuk yang membolehkan pelanggan membuat pilihan mengikut cita rasa masing-masing. Manakala platform e-commerce, memudahkan pelanggan melayari laman sesawang Ariffinshop (www.ariffinshop.com) bagi membuat pembelian barang kemas tidak kira masa dan di mana tempat mereka berada.

“Syarikat juga memberi peluang kepada orang ramai menjana pendapatan dengan mendaftar sebagai dropship,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN