Kadar pengangguran April 3.9 peratus - Utusan Malaysia

Kadar pengangguran April 3.9 peratus

KADAR pengangguran di Malaysia kini turun kepada 3.4 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran April menurun kepada 3.9 peratus, di bawah 4.0 peratus buat kali pertama sejak pandemik COVID-19, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Mengulas prestasi keseluruhan bagi April 2022, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, aktiviti ekonomi terus berkembang berikutan Malaysia membuka semula sempadan antarabangsa pada awal bulan tersebut.

Justeru katanya, kedudukan tenaga buruh pada April 2022 terus mengukuh dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 16.5 juta orang berbanding 16.44 juta pada Mac.

“Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 69.4 peratus daripada 69.2 peratus pada Mac, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran. 

“Situasi yang menggalakkan ini adalah berikutan peningkatan guna tenaga yang berterusan manakala pengangguran kekal pada trend yang menurun,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, penduduk bekerja kekal pada trend positif dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.5 peratus merekodkan 15.85 juta orang pada April daripada 15.77 juta orang pada bulan sebelumnya. 

“Sementara itu, bilangan penganggur kekal pada trend menurun bagi sembilan bulan berturut-turut, mencatatkan penurunan sebanyak 3.0 peratus kepada 649,300 orang berbanding 669,200 orang pada Mac.

“Justeru, kadar pengangguran turun di bawah kadar 4.0 peratus buat kali pertama merekodkan 3.9 peratus (Mac 2022: 4.1 peratus) setelah dua tahun pandemik Covid-19 melanda negara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN