Kadar faedah AS naik, ringgit mengukuh - Utusan Malaysia

Kadar faedah AS naik, ringgit mengukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi semalam berikutan keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas.

Pada 9 pagi semalam, mata wang tempatan menambah nilai berbanding dolar kepada 4.3970/3995 daripada penutupan Rabu pada 4.4120/4150.

Ringgit kemudian ditutup pada 4.4000/4050 berbanding dolar AS, lebih baik daripada prestasi hari sebelumnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ekonomi Bank Islam Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, Fed menaikkan kadar faedah kepada antara 1.50 peratus dan 1.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), kelmarin.

“Kenaikan kadar faedah di AS sememangnya agresif. Namun, kenyataan yang dibuat oleh pihak Fed serta unjuran ekonomi yang dibuat oleh mereka menunjukkan bahawa pihak Fed sedang berusaha mengawal kenaikan kadar inflasi melalui kaedah dasar monetari.

“Berdasarkan unjuran yang dibuat, kadar Kadar Dana Fed (FFR) dijangka akan mencecah 3.40 peratus pada akhir tahun ini.

“Itu bererti FFR bakal dinaikkan lagi sekitar 150 atau 175 mata asas bagu tahun ini. Tahun 2023 pula, FFR dijangka dinaikkan sekitar 3.80 peratus. Itu bermakna FFR akan dinaikkan sekitar 25 dan 50 mata asas bagi tahun 2023,” katanya.

Kelmarin, Fed melancarkan strateginya terhadap inflasi dengan menaikkan kadar faedah penanda aras sehingga 0.75 peratus dalam satu langkah yang menyamai kenaikan paling agresif sejak 1994.

Dengan menaikkan kadar faedah secara mendadak, Fed berharap untuk mengurangkan permintaan pengguna, yang telah mengatasi bekalan sekali gus mendorong kenaikan harga.

Mohd. Afzanizam menjelaskan, bagi 2024, FFR dijangka turun ke paras 3.40 peratus, bermaksud pihak Fed akan menghentikan proses kenaikan kadar faedah mereka pada tahun hadapan.

“Apabila ketidakpastian ini dapat dikurangkan, maka ada kemungkinan nilai ringgit akan stabil,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kesan sementara kenaikan kadar faedah akan menyebabkan ringgit kekal melemah berbanding dolar AS.

Namun jelasnya, disebabkan ia sudah dijangka sejak lebih seminggu, maka kesan penurunan itu tidak terlalu ketara.

“Jangka masa sederhana, ringgit akan kemabli stabil dan mengukuh berbanding dolar AS kerana fundamental ekonomi negara kita masih kukuh memandangkan kita masih mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar yang positif, eksport semakin tinggi, pelaburan langsung asing yang tinggi serta harga komoditi yang kekal tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN