KLUANG: Seorang bekas pegawai bank berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM261,420 lebuh selepas terpedaya pelaburan mata wang asing tidak wujud yang menjanjikan keuntungan tinggi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, mangsa lelaki berusia 65 tahun itu mula tertarik dengan iklan pelaburan dalam laman sesawang pada 15 Ogos lalu.
Katanya, mangsa telah berhubung dengan ejen pelaburan dan diminta mendaftar akaun pelaburan melalui pautan yang diberikan.
“Mangsa membuat pembayaran berjumlah RM261,420 ke dalam empat akaun berbeza secara berperingkat-peringkat, antara 2 November hingga 23 Disember lalu. Mangsa membuat semakan terhadap akaun pelaburan tersebut dan mendapati bahawa terdapat keuntungan berjumlah RM500,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, mangsa diminta untuk membuat pembayaran tambahan bagi proses pengeluaran wang, namun dia enggan membuat sebarang pembayaran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN









