Jumlah kecederaan pekerjaan menurun tahun lalu

Jumlah kecederaan pekerjaan menurun tahun lalu

Negara merekodkan jumlah kecederaan di sektor pekerjaan yang lebih rendah tahun lalu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah kecederaan pekerjaan di seluruh negara tahun lalu menurun 34.09 peratus kepada 21,534 kes berbanding 32,674 kes yang direkodkan pada 2020, menurut Statistik Kemalangan Pekerjaan Negara 2021 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah kematian akibat kemalangan pekerjaan juga menurun sebanyak 11 kes kepada 301 kematian pada 2021 berbanding 312 kematian tahun sebelumnya.

Beliau berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada penurunan statistik ini berikutan kebanyakan sektor ekonomi yang terpaksa ditutup sementara manakala yang lain beroperasi dalam tempoh yang lebih singkat bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Lapan negeri merekodkan kadar kecederaan pekerjaan lebih tinggi berbanding kadar kecederaan pekerjaan negara (1.43) iaitu Johor (3.11), Melaka (2.03), Pulau Pinang (1.99), Perak (1.92), Negeri Sembilan (1.89), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (1.76), Perlis (1.64) dan Pahang (1.53).

“Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kelantan masing-masing merekodkan kadar kecederaan pekerjaan terendah di antara negeri-negeri pada 0.31, 0.41 dan 0.43,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, bagi rekod kecederaan maut pekerjaan pula, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan kadar kecederaan maut pekerjaan tertinggi iaitu 4.28 bagi setiap 100,000 pekerja, diikuti Johor (3.23), Negeri Sembilan (2.99), Sarawak (2.74) dan Pahang (2.69).

Mohd Uzir berkata, Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan pula masih kekal dengan rekod tanpa kecederaan maut pekerjaan sejak 2020.

Menurutnya, statistik juga menunjukkan sebahagian besar kes kecederaan pekerjaan termasuk kematian pekerjaan adalah melibatkan lelaki.

“Mengikut kewarganegaraan pula, 17,302 (80.3 peratus) kes kecederaan pekerjaan adalah melibatkan pekerja warganegara dan selebihnya berjumlah 4,232 (19.7 peratus) kes pula melibatkan pekerja bukan warganegara.

“Selain itu, sekitar 73.7 peratus atau 15,868 kes kecederaan pekerjaan melibatkan pekerja di bawah umur 45 tahun,” katanya.

Dari segi sektor pekerjaan pula, Mohd Uzir berkata, kecederaan tertinggi direkodkan bagi industri pembuatan dengan 7,994 kes, diikuti perkhidmatan (4,299 kes), pembinaan (2,297 kes) dan perdagangan
borong dan runcit (1,979 kes).

“Berdasarkan pemerhatian terhadap punca kecederaan pekerjaan, sebanyak 60.8 peratus kecederaan pekerjaan disebabkan oleh tiga jenis kemalangan iaitu memijak, terlanggar dan terkena objek,” katanya.

Jelasnya lagi, statistik menunjukkan sebanyak 5,289 jumlah kes penyakit pekerjaan telah disahkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada tahun 2021.

Antara tiga kategori penyakit pekerjaan yang tertinggi ialah gangguan pendengaran akibat bunyi bising pekerjaan sebanyak 3,648 kes, penyakit pekerjaan yang disebabkan agen biologi (1,350 kes) dan gangguan muskuloskeletal pekerjaan (201 kes). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN