Indonesia bekal arang batu RM13.1 bilion - Utusan Malaysia

Indonesia bekal arang batu RM13.1 bilion

MOHD. Ali Mohd. Rustam merasmikan Menara TNB Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan berjaya menyelesaikan isu bekalan arang batu apabila Indonesia bersetuju untuk mengikat kontrak bekalan bernilai RM13.1 bilion, minggu lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sejak awal tahun ini Malaysia berdepan isu bekalan arang batu apabila negara jiran itu menghentikan 70 peratus bekalan yang diperlukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Jelasnya, Indonesia telah menghentikan eksport selama lima bulan sejak Januari lalu, susulan pembentukan dasar baharu bagi memenuhi permintaan domestiknya.

“Baru-baru ini, pada awal tahun kita ada isu berkaitan import arang batu daripada pembekal utama iaitu Indonesia yang menghentikan eksport.

“Justeru itu, pada minggu lalu kita bersama pengurusan tertinggi TNB telah ke sana untuk berbincang bersama pengeksport arang batu dan berjaya menandatangani perjanjian pembekalan selama tiga tahun bernilai AS$3 bilion (RM13.1 bilion),” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Menara TNB Melaka yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, bagi penyelesaian jangka masa panjang, TNB juga telah membina pelan tindakan peralihan kepada penggunaan tenaga boleh baharu (TBB).

“Dalam rangka TNB sendiri akan beralih kepada penggunaan sumber penjanaan ini daripada arang batu kepada TBB seperti solar dan ke arah menerokai hidrogen.

“Ini adalah pelan tindakan dilakukan TNB dalam memastikan pembekalan elektrik negara stabil, berdaya harap dan tidak membebankan rakyat,” katanya.

Jelasnya, pada 2021 negara telah mengikat kontrak pengimportan arang batu bernilai RM10.07 bilion bersama Indonesia, selain bekalan tambahan dari Rusia dan Afrika Selatan.

Tambahnya, sehingga kini rakyat menikmati kemudahan elektrik dengan bayaran bil yang stabil dengan rebat dua sen per kilowatt (kWj). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN