PETALING JAYA: IHG Hotels & Resorts (IHG), satu daripada syarikat perhotelan pelopor di dunia, mengumumkan pemeteraian tanda tangan ke atas InterContinental Penang Resort, dengan usahasama THR Hotel (Penang) Sdn. Bhd., anak syarikat kepada pemilik utama perhotelan di Malaysia, Tradewinds Corporation Berhad (Tradewinds Corp).
Usahasama itu bakal menyaksikan IHG memperkembangkan portfolio Mewah & Gaya Hidup di Malaysia dengan mengubah Mutiara Beach Resort Pulau Pinang di Teluk Bahang sebelum ini kepada resort pantai mewah di bawah jenama IHG.
Bakal dibuka pada 2025, InterContinental Penang Resort akan menyambut tetamu di Glowing Bay, Teluk Bahang, tempat di mana tetamu boleh beristirehat di pantai tropika yang diliputi kepelbagaian flora dan fauna.
Dengan perkampungan nelayan Teluk Bahang, Taman Negara Pulau Pinang serta Taman Herba Tropikal Pulau Pinang sebagai jiran, pengunjung juga dapat menikmati pemandangan Selat Melaka tanpa sebarang halangan yang menampilkan pantai pasir putih, air hijau jernih dan latar belakang hutan gunung untuk pengalaman yang sukar dilupakan.
Timbalan Presiden, Pembangunan, Asia Tenggara dan Korea IHG, Serena Lim berkata, syarikat tidak sabar untuk membawakan jenama hotel mewah antarabangsa terbesar dan pertama ini ke bandar kedua terbesar di Malaysia melalui InterContinental Penang Resort.
“Sebuah bandar yang kaya dengan sejarah dan budaya, Pulau Pinang sentiasa menjadi tumpuan pelancong mahupun atas urusan perniagaan, terutama selepas pembukaan semula sempadan dan tamatnya larangan pergerakan sebelum ini. Kami ingin mewujudkan destinasi resort terbaik di Pulau Pinang, menjadikannya ada daya tarik kepada semua lapisan pengujung dan memperkukuhkan lagi kehadiran jenama IHG dalam segmen mewah di Malaysia.
“Tradewinds Corp merupakan rakan niaga terbaik untuk kami memperkenalkan jenama InterContinental kepada Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tradewinds Corp, Muhammad Zainal Ashikin pula berkata, Teluk Bahang merupakan lokasi bermakna buat syarikat dengan Mutiara Penang Resort sebelum ini yang meraih anugerah.
Disebabkan itu, katanya, syarikat mengambil masa untuk kemukakan rancangan bagi menghidupkannya semula. Ia termasuk pemilihan teliti rakan niaga yang berkongsi visi terhadap lokasi menarik ini serta menaikkan semula tempat yang megah ini.
“Kami ingin memperkenalkan jenama yang memelihara alam semulajadi, budaya dan warisan kawasan sekitarnya sebagaimana yang kami pegang. Saya berbesar hati untuk mengatakan bahawa IHG adalah pilihan yang sangat tepat untuk kami, dengan rekod yang telah terbukti untuk menjadikan sebuah konsep destinasi mewah di pelbagai lokasi sebelum ini satu kenyataan,” katanya.
Terletak dalam jarak 30-minit memandu dari Georgetown, InterContinental Penang Resort akan menampilkan 355 bilik dan suites, ada antaranya yang mencecah tiga bilik tidur, serta sudut terasing melibatkan enam vila untuk pengunjung yang mahukan pengalaman dengan alam semulajadi sepenuhnya.
InterContinental Penang Resort akan menjadi hotel InterContinental yang kedua di Malaysia (selepas InterContinental Kuala Lumpur), dan akan membawa IHG kembali ke Pulau Pinang, bersama kemunculan Holiday Inn & Suites Penang Prai di masa akan datang.
Di Malaysia, IHG ketika ini mempunyai enam hotel di bawah tiga jenama — InterContinental, Holiday Inn dan Holiday Inn Express.
IHG juga sangat komited untuk mengembangkan hartanahnya di Malaysia dan mempunyai perancangan terhadap 10 hotel setakat 31 Mac 2020, yang bakal dibuka dalam tempoh tiga hingga lima tahun, antaranya Crowne Plaza Kota Kinabalu, Crowne Plaza Kuala Lumpur City Centre, Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park, Kimpton Kuala Lumpur dan Regent Kuala Lumpur. – UTUSAN










