Hilang 52.97 mata dalam seminggu - Utusan Malaysia

Hilang 52.97 mata dalam seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia kehilangan 52.97 mata dalam seminggu, didorong sentimen pelabur yang lebih berhati-hati dan tindakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) meningkatkan kadar faedah bagi mengurangkan kesan inflasi.

Pada 10 Jun lalu, penanda aras indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh di bawah paras 1,500 apabila ditutup pada 1,493.95.

Dalam minggu ini pula, indeks petunjuk pasaran dibuka 1,479.17, susut 14.78 mata daripada penutupan urus niaga Jumaat, kemudian melonjak sebanyak 13.72 mata kepada 1,472.77 pada Khamis, mengikuti jejak Wall Street selepas pengumuman Fed AS menaikkan kadar faedah kepada 75 mata asas.

Bursa Malaysia kemudian mengakhiri dagangan semalam dengan penyusutan 16.03 mata kepada 1,456.74, sekali gus merekodkan kehilangan 52.97 mata dalam seminggu.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, prestasi saham yang merudum kini terutama disebabkan inflasi di AS yang terlalu tinggi sehingga 8.6 peratus dan kadar faedah yang dijangka meningkat untuk enam suku ke hadapan.

Katanya, apabila kadar faedah naik, pelabur akan meminimumkan risiko dengan membeli pelaburan kadar tetap dalam bentuk bon dan saham perbendaharaan.

“Kita perlu sedar prestasi bursa dan mata wang negara banyak bergantung kepada prestasi AS dan apa yang berlaku di AS akan memberi kesan kepada Malaysia dalam tempoh 12 jam apabila kaunter dibuka pada waktu tempatan.

“Ini bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut memberi kesan kepada negara lain termasuk Jepun, Hong Kong, Australia dan Thailand yang bergantung kepada pasaran saham AS seolah-olah kita tidak mempunyai arah sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu katanya, terdapat juga faktor dalaman walaupun Malaysia tidak dilanda inflasi contohnya kenaikan kos bahan makanan yang tinggi menyebabkan keresahan pengguna. 

“Apabila pengguna resah, keseluruhan ekonomi terjejas kerana ia ditentukan oleh pengguna yang mengakaunkan 60 peratus daripada pertumbuhan ekonomi. Jika pengguna resah, mereka kurangkan penggunaan, mengakibatkan kekurangan permintaan dalam pasaran dan kadar pertumbuhan menurun,” katanya.

Tegas beliau, walaupun penganalisis dan bank dunia mengunjurkan ekonomi akan berkembang pada 5.5 peratus tahun ini, namun tahun hadapan KDNK negara dijangka turun kepada 4.0 hingga 4.5 peratus.

Jelasnya, keadaan ini tidak dijangkakan kerana pasaran saham tempatan sepatutnya menuju ke arah indeks 1,700 pada hujung tahun ini namun nampaknya sukar dicapai berikutan keadaan situasi perang Russia-Ukraine serta inflasi yang akan memberi kesan ketara.

“Justeru, mungkin kita akan mengalami situasi agak berbeza dalam ekonomi di mana pasaran saham tak memuncak. Sepatutnya apabila ekonomi merudum kerana penularan Covid-19 pada 2020, ia akan mula menunjukkan pemulihan pada 2021 dan sekarang kita pulih dan dijangka memuncak dalam 2025.

“Namun nampaknya, pasaran ekonomi juga mengikut pasaran saham dan tidak memuncak terlalu tinggi. 

“Banyak perkara yang mengganggu unjuran awal dan kami sebagai penganalisis juga tidak menjangkakan ini akan berlaku,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN