Harga kereta dijangka meningkat 10%

Harga kereta dijangka meningkat 10%

X50 antara model Proton yang mencatat jualan tinggi di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga kereta dijangka meningkat 10 peratus jika kerajaan tidak melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan yang akan berakhir pada hujung bulan ini, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, insentif itu bukan hanya membantu rakyat memiliki kereta pada harga lebih rendah, malah membantu melonjakkan permintaan sekali gus menyokong industri automotif yang bergelut sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“MAA telah membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan untuk melanjutkan pengecualian cukai itu hingga akhir tahun ini dan kami berharap akan dapat keputusan yang akan membantu syarikat-syarikat automotif serta pembeli,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Inisiatif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis pemasangan tempatan (CKD) dan model import sepenuhnya (CBU) diperkenalkan oleh kerajaan melalui

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020, berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Ia merangkumi pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi model CKD dan 50 peratus bagi model CBU.

Pada 29 Disember 2020, kerajaan mengumumkan lanjutan pengecualian cukai terbabit untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021.

Pada 31 Mei 2021, kerajaan sekali lagi bersetuju melanjutkan pengecualian cukai sama sehingga 31 Disember 2021.

Bagaimanapun, sebelum tempoh insentif itu berakhir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan memutuskan melanjutkan pengecualian cukai sehingga 30 Jun ini untuk mengurangkan kos pemilikan kenderaan, selain meringankan beban rakyat.

Sementara itu, Aishah memberitahu, masalah pelanggan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kenderaan yang ditempah atau banyak kenderaan yang kehabisan stok berlaku berikutan kekurangan cip mikro dan komponen.

“Terdapat sesetengah model kenderaan yang perlu ditunggu lama oleh pelanggan kerana masalah kekurangan cip mikro dan komponen yang telah mengganggu pengeluaran serta penghantaran alat ganti dari luar negara.

“Kini pengedar sedang cuba merancang dengan pengilang cip mikro untuk keluarkan ia dengan lebih cepat dan mencari alternatif lain dengan pembekal,” katanya.

Proton Holdings Berhad (Proton) dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, pihaknya masih berusaha untuk mendapatkan bekalan komponen supaya boleh memenuhi tempahan yang tertunggak.

Proton pada Mei lalu mencatatkan jualan sebanyak 9,792 unit setelah berjaya meningkatkan pengeluaran dengan mengatasi isu bekalan komponen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN