PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan enam syarikat telekomunikasi (telco) akan menandatangani perjanjian memiliki kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) bagi pelaksanaan rangkaian 5G negara.
Menurut beliau, pengumuman rasmi mengenai perkara itu bakal diumumkan pada 8 Julai ini.
“Hanya mengambil masa tujuh hingga lapan hari lagi untuk pengumuman rasmi dibuat, apa yang boleh saya katakan ketika ini bahawa semuanya mengikut perancangan dan berada pada landasan yang betul.
“Rundingan berlaku dan mereka telah mencapai persefahaman tertentu dan semuanya akan dimuktamadkan pada 8 Julai.
“Semua akan terlibat (everybody will be on board), akan ada enam syarikat telco sahaja yang mempunyai rangkaian, tiga adalah mereka yang mempunyai spektrum tetapi tidak mempunyai rangkaian,” katanya selepas majlis Perjanjian Kerjasama Program Country Digital Acceleration (CDA) antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Cisco International Limited di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya jumlah peratusan pegangan ekuiti DNB bagi setiap syarikat telco, Annuar memaklumkan, peratusan tersebut akan dibahagikan secara sama rata berdasarkan bilangan penyertaan.
“Kami menawarkan semua 70 peratus (pegangan ekuiti) dan ia akan dikongsi sama rata, dibahagikan dengan bilangan peserta,” ujarnya.
Jelas Annuar, segala kebimbangan mengenai ketelusan perkhidmatan rangkaian tersebut dan penetapan harga ‘Tawaran Akses Rujukan’ (RAO) telah pun diselesaikan. – UTUSAN










