Dari pasar malam, kini jana RM100,000 setahun

Dari pasar malam, kini jana RM100,000 sebulan

SYED Khairil Azri Sayid Hizar menunjukkan salah satu produk Manees yang dikeluarkan syarikatnya. – UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan hanya menjual buah-buahan kering dari Asia Barat seperti kurma dan kismis di pasar malam dan pasar tani, Al Haddad Industri (M) Sdn. Bhd. kini mampu menjana hasil jualan kira-kira RM100,000 sebulan melalui produk minuman pra campuran sendiri dan penghasilan pengeluaran produk tulen (OEM).

Syarikat milik anak jati Perlis iaitu Syed Khairil Azri Sayid Hizar, 44, yang terletak di Halal Park MARA Kawasan Perindustrian Kuala Perlis itu mula bertapak pada 1997.

Dia yang merupakan pengarah urusan syarikat tersebut berkata, minat untuk berniaga sudah terpahat dalam dirinya sejak berumur 10 tahun apabila sering membantu arwah ayahnya menjual daging lembu setiap kali tiba musim perayaan.

Syed Khairil Azri berkata, dia mula memperluaskan perniagaannya dengan mengeluarkan produk minuman pracampuran pada 2007 atas jenama Skash.

Katanya, dia kini sudah mempunyai tujuh produk di bawah jenama tersebut iaitu Arabic Cocoa, Teh Ais Balang, Arabica Coffee Classic, Kopi Kurma, Goat Milk Classic dan Manees.

“Selain daripada mengeluarkan produk sendiri, kami juga menawarkan OEM kepada mana-mana pihak atau usahawan yang mahu mengeluarkan produk mereka sendiri.

“Buat masa ini, kami menyediakan perkhidmatan kepada lebih 10 klien yang mengeluarkan produk mereka sendiri di kilang kami.

“Oleh itu, kami sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu mengeluarkan produk untuk datang berjumpa kami membuat formulasi serta reka bentuk produk,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

ARABIC Cocoa merupakan minuman pra campuran di bawah Skash yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan daripada Institut Bina Usahawan di Taman Melawati, Kuala Lumpur itu berkata, pihaknya memilih untuk mengeluarkan produk minuman pra campuran kerana produk tersebut lebih tahan lama dan kurang risiko barang lapuk.

“Produk ini mudah diuruskan daripada segi penghantaran, tahan lama dan sudah menjadi trend masa kini untuk orang ramai membeli produk minuman pra campuran,” jelasnya.

Sementara itu, Syed Khairil Azri yang juga Naib Yang Dipertua, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Perlis memberitahu, jualan syarikat tersebut mencapai kira-kira RM100,000 sebulan dengan separuh daripadanya dipacu oleh produk OEM.

Tambahnya, syarikat juga dalam usaha menambah sebuah lagi mesin membungkus susu bernilai RM40,000 dan tambahan mesin tersebut dijangka dapat meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran.

“Dengan adanya mesin baharu ini, kami menyasarkan dapat meningkatkan lagi jualan kepada RM130,000 setiap bulan atau RM1.56 juta setahun dalam masa dua tahun akan datang.

“Produk kami dipasarkan di kedai-kedai dan pasar raya di sekitar Perlis dan Kedah selain daripada ejen-ejen yang ada di seluruh semenanjung,” ujarnya.

Tambah bapa kepada tiga orang anak itu, pihaknya juga menyasarkan menambah jumlah ejen kepada 50 menjelang hujung tahun ini berbanding kira-kira 20 ejen ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN