PETALING JAYA: Celcom Axiata Bhd. dan Digi.Com Bhd. perlu melupuskan perniagaan penjualan prabayar, Yoodo dalam tempoh 18 bulan sebagai satu daripada syarat yang diletakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi penggabungan kedua-dua syarikat telekomunikasi itu.
Menurut kenyataan MCMC, sekiranya pemohon gagal melepaskan perniagaan tersebut dalam tempoh 18 bulan, pemohon perlu menghentikan operasi Yoodo dalam masa tiga bulan tamatnya tempoh pencairan.
Ujarnya, penjualan perniagaan itu termasuk semua aset ketara dan tidak ketara (termasuk hak harta intelek) digunakan secara eksklusif oleh Yoodo atau yang diperlukan untuk operasi Yoodo
perniagaan.
“Celcom dan Digi juga tidak boleh memperoleh jenama itu, sama ada secara langsung atau tidak, untuk tempoh tiga tahun selepas selesai penjualan Yoodo, melainkan diluluskan oleh pengawal selia.
“Selepas pemberhentian operasi Yoodo, pemohon tidak boleh memulihkan atau menghidupkan semula jenama Yoodo. Pemohon juga tidak boleh menyerap pelanggan Yoodo secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Semalam, MCMC mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd. yang memiliki 10.32 juta pelanggan dan Celcom Axiata Bhd. yang memiliki 9.60 juta pelanggan, sekali gus menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.
MCMC telah mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh pemohon dan berpuas hati yang ia akan mengurangkan dengan signifikan isu-isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama, Celcom dan Digi berharap dapat merealisasikan potensi syarikat penggabungan yang dicadangkan (MergeCo) dari segi memperkukuh kapasiti bagi memacu pendigitalan untuk pengguna, perniagaan, ekosistem rakan kongsi dan pembangunan bakat tempatan.
Katanya, MergeCo akan menyediakan kualiti dan liputan rangkaian yang lebih baik kerana ia telah bersedia untuk melabur dalam pengembangan rangkaian bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk data dan pendigitalan.
“Dalam merealisasikan dengan lebih lanjut potensi digital negara, MergeCo bercadang untuk melabur sehingga RM250 juta dalam tempoh lima tahun untuk membina pusat inovasi bertaraf dunia di Kuala Lumpur bagi memastikan Malaysia berada di barisan hadapan revolusi digital global.
“Sebaik sahaja selesai cadangan penggabungan yang dijangka pada separuh kedua tahun ini, Axiata dan Telenor masing-masing akan memegang pemilikan sama sebanyak 33.1 peratus dalam syarikat baharu digabungkan itu yang akan dinamakan Celcom Digi Bhd. dan akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia,” ujarnya.
Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, penyampaian rangkaian dan ketersambungan yang lebih baik untuk pelanggan amat penting.
“Sebagai dua syarikat yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam menyumbang ke arah pengukuhan negara, kami teruja dengan kemasukan digital dan peluang-peluang pertumbuhan yang akan dimanfaatkan oleh MergeCo dan pusat inovasi yang dicadangkan itu,” katanya.
Pengerusi Lembaga Pengarah Digi, Haakon Bruaset Kjoel pula berkata, kedua-dua pihak kini akan menumpukan pada melengkapkan langkah yang selebihnya untuk memuktamadkan penggabungan dan berusaha menyampaikan program integrasi yang lancar bagi menjadikan visi dan nilai entiti yang digabungkan kepada realiti. – UTUSAN










