Affin Bank lancar pembiayaan pemasangan SPV

Affin Bank lancar pembiayaan pemasangan SPV

Nazlee Khalifah (depan, kiri) menyerahkan sijil pertukaran memorandum kepada wakil rakan solar dari Gading Kencana Sdn Bhd, Datuk Ir. Guntor Tobeng pada majlis pelancaran Affin Solar Financing-i dan pertukaran memorandum persefahaman bersama lapan agensi rakan Solar di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd. dan Affin Islamic Bank Bhd. melancarkan pembiayaan Solar-i AFFIN, pelan pembiayaan peribadi yang lebih mampan bagi membolehkan pelanggan runcit membeli dan memasang Sistem Solar Fotovoltaik (SPV) di kediaman dan bangunan milik mereka.

Sistem SPV ialah panel solar yang mampu menyerap tenaga daripada cahaya matahari yang ditukarkan kepada tenaga elektrik.

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank, Nazlee Khalifah berkata, Affin Bank dan Affin Islamic adalah satu-satunya bank yang menawarkan kemudahan pembiayaan tersebut kepada pelanggan baharu dan sedia ada.

“Skim ini menawarkan jalan mudah dan ringkas untuk pemilik rumah dan bangunan menjimatkan bil elektrik bulanan dan jejak karbon seterusnya menikmati hasil segera daripada pelaburan mereka.

“Pembiayaan Solar-i AFFIN turut menyediakan pelan pembiayaan fleksibel bagi tempoh sehingga 10 tahun bagi pembiayaan antara RM20,000 hingga RM150,000 dengan pelbagai pilihan mod pembayaran,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran pembiayaan Solar-i AFFIN, di sini semalam.

Pada majlis tersebut, Nazlee bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dengan eksekutif utama daripada lapan syarikat panel solar termasuk Dynamic EnergyTech Sdn. Bhd., Gading Kencana Sdn. Bhd. dan Verdant Solar Sdn. Bhd., disaksikan Pengerusi Affin Islamic Bank, Musa Abdul Malek.

Menurut Nazlee, pihaknya percaya rakyat negara ini mempunyai kesedaran dan minat yang tinggi untuk tenaga boleh baharu dan dengan pembiayaan Solar-i AFFIN.

Jelasnya, pembiayaan Solar-i AFFIN adalah satu langkah yang diambil oleh bank untuk meningkatkan pertumbuhan tenaga boleh baharu di negara ini selaras dengan aspirasi tenaga boleh baharu kerajaan dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Boleh Baharu (RETR) 2035.

“Matlamat kami adalah menjadi pemudah cara bagi rakyat Malaysia untuk mengorak langkah ke arah pembangunan yang lebih mampan. Kami percaya produk ini akan membantu memacu perkembangan ekonomi hijau dan amalan hijau dalam masyarakat di Malaysia,” katanya.

Bank itu juga telah dianugerahkan Anugerah Khas bagi Pembiayaan Tenaga Lestari daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada Anugerah Tenaga Negara 2020 dan berazam untuk menjadikan pembiayaan ini sebagai penyelesaian kewangan yang menangani serta mengurangkan jurang bagi segmen SPV berskala lebih kecil.

Ia boleh membantu pelanggan runcit, pemilik rumah dan bangunan untuk membeli dan memasang panel SPV. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN